Keluarga Salsiah Ariffin menonton siaran langsung Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Koperasi Polis Gombak, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB yang berkuatkuasa sehingga Selasa ini disambung sehingga 9 Jun iaitu selama empat minggu lagi atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini bermakna, semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun ini.

Jelas beliau, sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

“Dalam tempoh ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari tentang larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuatkuasa dalam tempoh ini.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen dan media sosial di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau sedar ramai yang sedih tidak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga.

Namun beliau meminta umat Islam bersabar dan keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, mereka boleh balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara.

“Stesen-stesen TV dan Radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga. Mainkanlah lagu-lagu Hari Raya yang boleh menceriakan suasana. Saya tengok dalam YouTube ada lagu “Jange Kelik La Weii”. Lagu ni pun OK lah.

“Tetapi ini tak bermakna kita tak boleh menyambut perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan atau Hari Gawai. Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa. Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka,” katanya.

Muhyiddin turut menasihati setiap keluarga agar terus mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan hand sanitizer sepanjang sambutan perayaan ini.

“Pastikan rumah sentiasa bersih. Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir.

“Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar saudara-saudari elakkan daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup. Kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak perlulah duduk terlalu rapat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Duk bekerja kat KL sorang2…tak ada keluarga dan sanak saudara di KL…semua di Johor…beraya sendirian jer

Comments are closed.