Anggota tentera membuat kawalan laluan keluar masuk kawasan Pasar Jalan Othman (PJO), Petaling Jaya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus menggiatkan usaha mengurangkan kes positif Covid-19 di negara ini melalui pengesanan kes aktif dan pendekatan tertumpu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu termasuk melakukan pengesanan, penyaringan dan ujian ke atas kumpulan sasar yang berisiko tinggi.

“Tindakan-tindakan ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan juga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, setakat ini pelaksananaan aktiviti pendekatan tertumpu telah menunjukkan impak yang positif dalam mengesan lebih banyak kes Covid-19.

Katanya, sehingga 10 Mei, KKM telah mengenal pasti beberapa kumpulan sasar seperti peserta perhimpunan di Seri Petaling dan kontak rapat mereka, pelajar serta kakitangan madrasah dan tahfiz yang berkait rapat dengan perhimpunan di Seri Petaling.

Perkara lain katanya, mengesan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dengan menempatkan mereka di pusat-pusat kuarantin, menempatkan anggota kesihatan KKM di kawasan penduduk di lokaliti-lokaliti PKPD seperti Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) dan pasar-pasar yang berkait rapat dengan PBKL serta melakukan satringan terhadap pekerja asing di tapak pembinaan di zon merah dan rumah jagaan warga emas.

Justeru, beliau menyeru masyarakat tidak perlu khuatir dengan pengingkatan kes baharu susulan pendekatan tertumpu yang agresif dan proaktif oleh kerajaan kerana ini menunjukkan keberkesanan aktiviti yang dijalankan ketika ini.

Ini kerana katanya, kes-kes yang dikesan itu sememangnya diasingkan dan diberi rawatan di hospital bagi memastikan virus Covid-19 tidak terus menular di kalangan masyarakat.

Dalam pada itu Noor Hisham berkata, KKM menyambut baik pengumuman pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Katanya, ini akan memberi ruang kepada kerajaan dalam memerangi penularan COVID-19 ini sehingga ke tahap yang lebih terkawal, sambil mengimbangi pembukaan sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast