Kanak-Kanak berusia 6 tahun berstatus pelarian UNHCR mati dipukul bapa tirinya hanya kerana tidak mahu makan dan tiga suspek pemegang kad UNHCR termasuk dua wanita asing ditangkap di lokasi sama dalam kejadian pagi semalam.

AMPANG – Hanya kerana enggan makan makanan yang dibelikan, seorang kanak-kanak warga asing yang memegang status kad pelarian UNHCR ditemui mati disyaki dipukul oleh bapa tirinya.

Kejadian menyayat hati itu berlaku di hadapan sebuah kedai makan, di kawasan pusat beli belah Ampang Point, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan MER999 kira-kira pukul 9.50 pagi daripada seorang pengadu seorang wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Katanya, wanita itu memaklumkan polis mengenai pertemuan mayat kanak-kanak di hadapan kedai makan, Jalan Memanda 3, di Ampang Point.

“Hasil siasatan mendapati simati adalah seorang kanak-kanak berambut botak berumur dalam linkungan 6 tahun dan berpakaian lengkap serta ditemui dalam keadaan terbaring di atas bahu jalan.

“Dia juga pemegang kad suaka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Hasil pemeriksaan polis mendapati kesan lebam di beberapa bahagian anggota badan termasuk lengan dan badan,” katanya dalam kenyataan media sebentar tadi.

Tambah beliau, hasil siasatan polis mengesyaki punca kejadian dipercayai si mati telah dipukul dengan menggunakan benda keras atau tumpul dipercayai oleh ayah tirinya kerana dikatakan enggan makan.

Katanya, mangsa yang dipercayai dipukul sehingga mati di tempat lain telah dibuang oleh suspek di tempat ditemui oleh pengadu.

Mayat kanak-kanak malang itu telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

“Selang 30 minit selepas maklumat kejadian diperolehi, pihak Polis IPD Ampang jaya bertindak tangkas dan berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki dan dua wanita warganegara asing berusia antara 17 hingga 63 tahun.

“Kesemua suspek yang juga merupakan pemegang kad UNHCR telah ditangkap di sebuah hotel di Jalan Memanda 5 Ampang Point, Ampang, Selangor yang disyaki sebagai tempat sebenar mangsa kanak-kanak itu dipukul.

“Kes telah diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh orang da jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” tegas beliau.-MalaysiaGazette