Peguam, Nasser Yusof menampal surat tuntutan saman terhadap C4 Consultancies Sdn Bhd berikutan kenyataan yang dikeluarkan terhadap Menteri Kesihatan di C4 Consultancies Sdn Bhd, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 12 MEI 2020

PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini mengeluarkan notis tuntutan saman terhadap Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) kerana didakwa memfitnahnya berhubung kontrak Perolehan Darurat bagi pelaksaaan Lab Mitigaton Solutin For Covid-19.

Notis tersebut diserahkan ke pejabat C4 di 8 Avenue, Seksyen 8 di sini oleh dua peguamnya, Nasser Yusof dan Mohd Fauzi Abd Samad dari Tetuan Lacmof Lawyers serta disaksikan Setiausaha Politik Dr Adham, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin.

Ketika ditemui, Nasser berkata, anak guamnya telah mengarahkan supaya mereka menghantar sisipan notis tuntutan saman yang perlu dijawab oleh pihak terbabit dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini.

Menurutnya, menerusi notis berkenaan pihak yang terbabit perlu membuat permohonan maaf secara terbuka yang perlu disiarkan di laman web syarikat itu dan laman sosialnya serta membuat perkara sama menerusi sidang media.

“Selain itu, anak guam kami tuntut ganti rugi sebanyak RM30 juta dan mereka perlu menarik balik tohmahan yang telah dibuat,” katanya.

Menurut Nasser, kehadiran mereka ke situ tidak diketahui oleh pihak berkenaan dan ketika dikunjungi pejabat tersebut tidak beroperasi dan berkunci.

Satu notis ditampal di pintu masuk premis terbabit sebagai pemberitahuan mengenai perkara itu, ujarnya.

Tambah beliau, notis yang sama turut akan dikemukakan nanti kepada pihak terbabit menerusi serahan tangan dan pos berdaftar.

Tegasnya, jika perkara itu tidak dipenuhi, pihaknya akan memfailkan writ saman ke Mahkamah Tinggi dan Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) sebagai defendan bertangungjawab mengemukakan bukti-bukti di mahkamah bagi menunjukkan kebenaran terhadap tuduhan yang dilemparkan.

Peguam, Nasser Yusof bercakap kepada media selepas menghantar surat tuntutan saman di C4 Consultancies Sdn Bhd, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 12 MEI 2020

Bagaimanapun, ketika ditanya sekiranya permohonan maaf tersebut dipenuhi oleh pihak terbabit, Nasser memberitahu, susulan lanjut mengenai perkara berkenaan akan dipertimbangkan oleh anak guamnya.

Semalam, C4 mengeluarkan kenyataan bahawa Adham mempunyai kaitan dengan syarikat Khazanah Jaya Sdn Bhd (KJSB) yang memperoleh kontrak secara Perolehan Darurat bagi pelaksaaan Lab Mitigaton Solutin For Covid-19.

Perkara itu kemudiannya dinafikan oleh pejabat Menteri Kesihatan yang menyifatkan tuduhan yang dibuat oleh NGO itu sebagai berniat jahat dan cuba melakukan pembunuhan karakter.

Malah, kenyataan itu turut memberitahu, Dr Adham tidak pernah mempunyai sebarang kepentingan perniagaan dalam KJSB atau pemegang saham syarikat terbabit. – MalaysiaGazette

NGO berniat jahat tuduh Dr Adham ada kaitan dengan syarikat peroleh kontrak

1 Komen

Comments are closed.