Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpakaian PPE melakukan saringan terhadap penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Pasar Jalan Othman, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 11 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yakin tidak ada gelombang kedua penularan Covid-19 sekiranya rakyat negara ini patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan pihaknya semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diwartakan.

Justeru itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya rakyat dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan, maka gelombang kedua tidak akan berlaku.

“Samada kita akan hadapi gelombang kedua atau tidak, bukan di tangan KKM sahaja tapi kepada masyarakat juga. Kita kena pastikan masyarakat dapat mengikuti semua SOP yang telah digariskan oleh KKM,” katanya dalam sidang media harian di KKM, hari ini.

Ditanya samada KKM bimbang akan gelombang kedua penularan Covid-19, Noor Hisham berkata, sudah pastinya KKM bimbang dan dengan itu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1 hingga 4 dilaksanakan.

“Yang penting kita telah laksanakan PKP 1 hingga 4, kita dapat lihat kejayaan pelaksanaan itu dimana kita berjaya melandaikan graf dan berjaya turunkan jumlah kes baharu dari tiga digit kepada dua digit.

“Hari ini adalah yang terendah yang pernah kita capai dengan 16 kes. Daripada 16 kes itu, 3 adalah kes import. Jadinya jangkitan tempatan 13 kes sahaja, dan 9 daripadanya melibatkan pekerja bukan warganegara.

“Kita cuma ada 4 kes jangkitan tempatan, kita sudah lakukannya dengan baik. Kita telah benarkan beberapa sektor ekonomi dibuka semula dan memperkenalkan PKPB.

“Apa yang kita lihat hari ini adalah keputusan yang kita rancang 14 hari sebelum ini,” jelas beliau.

Noor Hisham juga turut ditanya samada kerajaan boleh bergantung kepada disiplin rakyat Malaysia, jawab beliau tahap kepatuhan rakyat Malaysia semasa pelaksanaan PKP dan PKPB adalah pada tahap 90 peratus.

Jumlah itu katanya sudah cukup untuk memberikan jaminan bahawa Malaysia mampu untuk memastikan penularan Covid-19 dapat dihentikan.

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, bahawa tahap kepatuhan rakyat semasa PKP adalah 90 peratus, jadi kita boleh fokus kepada baki peratusan itu lagi. Jadi industri dan pusat membeli-belah patuh kepada SOP yang diberikan saya yakin kita boleh turunkan lagi kes positif Covid-19.

“Jika kita mahu menang, kita kena bersatu dan semua rakyat patuh kepada SOP, saya yakin kita boleh lakukannya, Malaysia boleh,” katanya lagi. -MalaysiaGazette