KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini menafikan dua lagi berita palsu yang ditularkan di media sosial ketika negara menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Pasukan Respon Pantas KKMM, dua laporan palsu kali ini melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Negeri Sembilan.

DBKL hari ini menafikan sebuah kedai runcit milik warga asing di Hartamas beroperasi semula setelah dikenakan tindakan pada 8 Mei lalu seperti yang tular di media sosial.

“Sebaliknya premis tersebut berlesen dan dimiliki oleh warganegara Malaysia serta mematuhi UUK 20 Undang-Undang Kecil Tred, Pelesenan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

“Undang-undang kecil ini membenarkan pelesen menggaji warga asing yang mempunyai permit kerja yang sah.

“DBKL memaklumkan bahawa penguatkuasaan tempoh hari telah dikenakan ke atas premis yang berdekatan dan masih lagi ditutup hingga kini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, MBS pula menafikan penjaja atau peniaga yang gerainya dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak akan dibenarkan berniaga semula.

“Sebaliknya para penjaja berkenaan boleh memohon untuk mendapatkan semula peralatan perniagaan mereka daripada MBS selepas tamat tempoh PKPB bagi membolehkan mereka kembali berniaga.

“Kebanyakan penjaja tidak berlesen kerana kawasan perniagaan berkenaan didapati tidak sesuai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette