Sidang media dua ADUN PKR mengumumkan keluar parti menyebabkan kerajaan PH di Kedah hilang majoriti.

KUALA LUMPUR – PKR Kedah hari ini menafikan dakwaan pihaknya menyokong pencalonan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor dari Pas sebagai Menteri Besar yang baharu menggantikan Datuk Seri Mukriz Mahathir.

“Tidak benar, itu berita palsu,” kata jurucakap parti itu hari ini.

Media hari ini melaporkan Pengerusi PKR negeri Datuk Johari Abdul dengan mendakwa PKR negeri itu menyokong Muhammad Sanusi sebagai calon Menteri Besar Kedah yang baharu.

Johari yang juga Adun Gurun juga didakwa memaklumkan pendirian partinya dalam sepucuk surat kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Surat yang tular itu berkata PKR tidak keberatan untuk menyokong Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar.

Surat yang menggunakan kepala surat parti itu berkata pihaknya mencadangkan Muhammad Sanusi sebagai calon Menteri Besar.

Malah surat itu turut ditandatangani oleh Johari selaku pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah.

Politik Kedah hari ini berantakan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri itu tumbang hari ini, selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR mengumumkan keluar parti.

Artikel berkaitan: Dua ADUN PKR keluar parti, kerajaan PH Kedah tumbang

Mereka adalah ADUN Sidam, Dr. Robert Ling Kui Ee dan rakannya, ADUN Lunas, Azman Nasrudin

Kedua-dua ADUN berkenaan memberitahu, mereka telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membuat keputusan keluar dari parti itu berkuatkuasa serta merta.

Kerajaan Negeri Kedah hari ini akan bertukar tangan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila secara logiknya Mukhriz bukan lagi Menteri Besar Kedah, kerana PH negeri itu mempunyai 17 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula 19 kerusi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.