KUALA LUMPUR – Seramai 50 penuntut Malaysia di Chennai, India kini dilanda kebimbangan selepas daerah di bawah Tamil Nadu terletak dalam zon merah dan menyaksikan lonjakan kes Covid-19 dari sehari ke sehari.

Di daerah ini, kes Covid-19 adalah sebanyak 8,002 setakat hari ini dan Tamil Nadu berada pada kedudukan keempat dalam senarai kes koronavirus tertinggi di India.

Melihat keadaan di Chennai yang semakin meruncing, penuntut di Chennai memohon pertimbangan dan keprihatinan tinggi daripada  Kerajaan Malaysia untuk membawa mereka pulang ke tanah air.

Seorang penuntut memaklumkan kepada MalaysiaGazette, ibu bapa mereka telah berusaha untuk berurusan dengan agensi penerbangan persendirian selepas pihak konsulat memaklumkan tiada perancangan untuk membawa penuntut-penuntut pulang.

Sebaliknya, pihak konsulat mengarahkan penuntut-penuntut untuk berada di tempat masing-masing walaupun situasi sekarang semakin membimbangkan.

Komuniti tempatan juga menyarankan penuntut-penuntut dari luar supaya pulang kerana jika berlaku apa-apa, setiap urusan agak merumitkan di waktu ini.

Penuntut itu berkata, usaha yang dilakukan oleh ibu bapa gagal kerana kos penerbangan terlalu tinggi iaitu RM6,800 untuk laluan sehala berbanding RM700 sahaja.

“Kebanyakan keluarga tidak mampu hendak bayar harga tiket itu. Kami telah pun berusaha berhubung dengan pihak kedutaan mengenai perkara ini namun masih tiada sebarang penyelesaian dan tindakan.

”Oleh itu, kami menaruh harapan ada pihak yang boleh tampil untuk membantu kami keluar di sini kerana pelajar Malaysia yang berada di kawasan lain seperti Bangalore dan Belgaum telah pun selamat sampai ke Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Penuntut itu menambah, dari segi psikologi kebanyakan penuntut berasa begitu tertekan hingga menimbulkan pertanyaan dalam kalangan kami mengapa penuntut di Chennai dipinggirkan.

“Jika penuntut di Banglore dan Belgaum dibawa balik kerana terletak di zon merah, apa pula bezanya dengan kami di sini. Chennai antara bandar yang terjejas teruk dengan wabak ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, meskipun berada dalam zon merah, para penuntut berkenaan tidak ada masalah untuk mendapatkan bekalan makanan.

Cuma, rasa bimbang akan jangkitan Covid-19 dan keselamatan diri, ditambah pula dengan kerisauan keluarga menyebabkan semua penuntut berada dalam tekanan.

Beliau berkata, setakat ini semua kelas sudah digantung oleh universiti

“Apatah lagi penduduk di sini langsung tidak mengendahkan kebimbangan tentang penularan wabak ini. Kehidupan seharian seperti biasa, seolah-olah tiada apa yang berlaku,” ujarnya.- MalaysiaGazette