pesakit COVID-19 juga boleh ditandakan jarinya misalnya dengan dakwat merah atau hitam. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mewajibkan tindakan penandaan sosial iaitu memberi tanda kepada pesakit, bekas pesakit atau pembawa Covid-19.

Langkah itu dilihat perlu supaya orang ramai boleh menjarakkan diri dengan mudah selain meminimumkan ruang dan peluang jangkitan, kata Pakar Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Shahrin Hashim.

Menurutnya, penandaan itu boleh dilakukan dengan mudah dan murah menggunakan dakwat khas sebagaimana yang digunakan semasa pilihan raya bagi menandakan pengundi yang telah mengundi.

Dengan cara yang sama, pesakit Covid-19 juga boleh ditandakan jarinya misalnya dengan dakwat merah atau hitam.

“Setelah pesakit disahkan negatif maka ditandakan satu lagi jarinya dengan warna hijau atau biru atau kuning atau sebarang warna lain.

“Pesakit bertanda ini juga lebih mudah dan boleh diberikan keutamaan membuat ujian susulan atau memperbaharui celupan dakwat,” katanya.

Shahrin Hashim.

Tambah Shahrin, paling ekstrem jika untuk jangkamasa panjang, boleh dicadangkan supaya dicacah tatu di belakang tapak tangan dengan tanda khas (seperti huruf C).

Katanya, ini kerana sehingga kini tidak boleh dipastikan Covid-19 telah mati atau habis atau telah tiada sepenuhnya dalam badan pesakit walaupun seekor kuman pun.

“Bermakna pesakit mempunyai risiko ruang dan peluang mengalami sakit semula tetapi bukan melalui jangkitan tetapi misalnya Covid-19 yang telah tidak aktif akan aktif dan membiak semula.

“Sebab itulah pesakit bertanda diberikan keutamaan dan layanan istimewa sebagaimana yang dinikmati juga oleh orang cacat atau Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Telah banyak terjadi kes pesakit yang telah disahkan pulih sembuh atau negatif tetapi kemudiannya kembali positif dan ada yang membawa kepada kematian,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrin memberitahu, terlalu banyak manfaat kebaikan praktikaliti dan realitinya menggunakan kaedah penadaan sosial  tetapi yang paling utama ialah supaya konsep penjarakan sosial berjaya sepenuhnya bagi membendung dan menghapuskan penularan Covid-19.

“Pada ketika ini, orang ramai seperti ketakutan di dalam gelap gelita kerana tidak tahu siapakah yang hendak ditakuti, siapakah yang hendak dijauhi, siapakah yang hendak diberi pertolongan, siapakah yang hendak diberikan layanan atau laluan khas dan sebagainya.

“Sebelum ini diperkatakan mengenai tindakan kerajaan melaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) adalah betul tetapi kurang tepat kerana merahsiakan identiti pesakit Covid-19. Bagi orang Melayu, mereka faham benar dengan peribahasa ‘mulut kur-kur, tangan pegang penyapu’.

Menurut beliau lagi, Malaysia kini berada pada kedudukan nombor empat dalam menghadapi Covid-19 dan dengan usaha penandaan sosial mungkin menjadikan Malaysia sebagai nombor satu melawan pandemik yang sama.- MalaysiaGazette