Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2020 dijangka sekitar +0.4 peratus dan -2.0 peratus, tetapi lebih cenderung untuk berlegar pada -1.1 peratus.

AmBank Research berkata, berdasarkan prestasi ekonomi pada suku pertama 2020, ekonomi tersebut telah pun mencatatkan prestasi yang lemah daripada sektor tertentu sejak 2019.

Malaysia melaporkan pertumbuhan yang paling lemah sejak suku ketiga 2009, dengan pertumbuhan KDNK pada suku pertama akan datang bakal merekodkan +0.7 peratus dari tahun ke tahun, berbeza daripada jangkaan pasaran dan bank itu, masing-masing meramalkan catatan -1.0 peratus dan- 2.8 peratus sebelum ini.

“Kesan pandemik virus, ditambah dengan kejatuhan harga minyak, hanya memburukkan lagi beberapa sektor yang sudah lemah sambil menjejaskan bidang aktiviti ekonomi yang baharu seperti perkhidmatan,” katanya dalam satu nota hari ini.

Kemelesetan global kini dilihat tidak sama dengan era 1930-an memandangkan ekonomi dunia semasa telah disokong oleh rangsangan kewangan dan langkah fiskal, tambahan pula, kelonggaran sekatan yang dibuat secara berperingkat sewajarnya memberikan beberapa sokongan kepada eksport.

Sementara itu, Public Investment Bank berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku kedua 2020 (2Q20) akan dipengaruhi oleh pandemik Covid-19 berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih panjang.

Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi mungkin pulih secara beransur-ansur pada suku ketiga susulan pembukaan semula ekonomi pada awal Mei, sebelum dirancakkan lagi pada suku keempat.

“Jika tiada halangan seperti peningkatan semula kes COVID-19, ekonomi tersebut boleh mencapai potensinya pada suku keempat walaupun mungkin tidak dalam kapasiti penuh disebabkan keperluan untuk penjarakan sosial.

“Keadaan ini mungkin akan berterusan sehingga wujud vaksin COVID-19 yang mungkin akan dihasilkan pada hujung tahun ini atau tahun depan,” kata Public Investment Bank dalam satu nota hari ini.

Ia menambah, prospek pertumbuhan sepatutnya bertambah baik pada 2021 jika pandemik berjaya dikekang.

Sementara itu, ketidakstabilan ringgit diramal akan berterusan dalam jangka masa terdekat selaras dengan risiko yang lebih tinggi termasuk kejatuhan harga minyak.

Pengurangan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga akan memberi kesan ke atas ringgit sejajar dengan unjuran bank bagi tahun ini iaitu RM4.20 berbanding satu dolar US.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengurangkan OPR sebanyak tiga kali sejak Januari dalam usaha untuk mengimbangi ekonomi daripada menyusut berikutan Covid-19. BNM juga telah membuat memotong Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas pada Mac lepas.

Ini sebagai tambahan untuk membolehkan beberapa langkah lain diambil, yang akan membebaskan RM30 bilion ke dalam sistem perbankan.

Public Investment Bank berkata,  bergantung kepada tempoh dan keseriusan Covid-19, persekitaran kadar faedah yang rendah mungkin akan berterusan ke dalam beberapa suku yang akan datang terutamanya dalam ketiadaan vaksin untuk wabak tersebut

“Perubahan dalam tabiat perbelanjaan pengguna dan prosedur operasi standard yang ketat bagi penjarakan sosial juga boleh menjejaskan pengeluaran serta permintaan. Sekiranya pandemik ini kekal sebagai risiko besar terutamanya kepada perdagangan global, kami menjangkakan BNM akan mengurangkan lagi SRR dan OPR, yang mana, ianya adalah mungkin selepas keadaan inflasi yang kekal stabil.

“Harga minyak semasa adalah yang paling lemah dalam tempoh 20 tahun dengan kemungkinan pemulihan yang rendah disebabkan kesan negatif Covid-19 ke atas ekonomi-ekonomi utama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette