Gambar hiasan

BATU PAHAT – Permintaan pasaran terhadap sayur-sayuran telah meningkat sedikit sebanyak 15 peratus sejak kawalan pergerakan dilonggarkan dan keadaan itu menyumbang kenaikan harga makanan itu sebanyak kira-kira 30 peratus.

Pengerusi Persatuan Penanam Sayur, Tan Soo Tiok berkata, peningkatan harga juga disebabkan oleh keputusan pengurangan pengeluaran yang diambil kebanyakan penanam memandangkan berlaku lambakan hasil yang serius sebelum ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau justeru menjangkakan, harga sayur akan meningkat 30 peratus berbanding keadaan biasa untuk beberapa minggu akan datang.

Katanya kepada Oriental Daily, penanam telah mengurangkan pengeluaran setelah banyak hasil tidak dapat dihantar ke destinasi semasa PKP, selain isu kekurangan pekerja dan permintaan yang merudum.

“Selain mengurangkan pengeluaran, hasil semasa juga sedikit terjejas kerana cuaca berhujan pada masa ini.

“Lagi pun, kami tidak boleh menambahkan pengeluaran secara serta-merta walaupun permintaan telah meningkat sedikit kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berkata, penanam sayur seluruh negara dianggarkan kerugian RM22.75 juta dalam tempoh 28 hari pertama pelaksanaan PKP.

“Untuk mengelakkan kerugian seperti ini berulang, kebanyakan penanam sayur dijangka tidak akan mengambil risiko untuk menambah pengeluaran pada masa ini,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan memberi subsidi kepada penanam sayur bagi membantu mereka mendepani pelbagai cabaran yang wujud. – MalaysiaGazette