Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpakaian PPE melakukan saringan terhadap penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Pasar Jalan Othman, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 11 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Kes positif baharu Covid-19 hari ini mencatatkan dua angka iaitu 36 menjadikan jumlah keseluruhan kes dilaporkan sebanyak 6,855 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 28 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Sehingga kini, seramai 14 kes positif Covid-19 sedang dirawat di
Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham memaklumkan, terdapat 88 kes yang telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 5,439 kes atau 79.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ujarnya, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

Justeru beliau berkata, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 112 kes atau 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette