Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas bertekad memperkukuhkan resolusi Piagam Muafakat Nasional bersama rakan kerjasama, UMNO dalam mesyuarat khas Muafakat Nasional (MN) semalam.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad menjelaskan, 14 September 2019 menjadi tarikh keramat dengan terlaksananya Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) sebagai detik penting dalam sejarah politik Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14).

“Piagam Muafakat Nasional yang telah dimeterai dalam HPU menegaskan MN menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera serta berusaha memastikan tadbir urus pembangunan negara yang sejahtera.

“Dalam mencapai agenda berkenaan, MN sepakat memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinanan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencorak negara ke arah pentadbiran yang lebih sejahtera, diberkati dan diiktiraf di peringkat global,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jelas beliau, pengiktirafan yang diberikan oleh pelbagai pihak kepada kerajaan dalam menangani Covid-19 boleh dibanggakan.

Kata beliau, rakyat Malaysia turut berganding bahu memastikan peratusan tinggi terhadap kepatuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini menjadi petanda bahawa rakyat turut bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani wabak ini.

“Pas menyeru permuafakatan yang telah terbentuk di peringkat negeri terus terjalin dalam merealisasikan agenda Malaysia Sejahtera.

“Seterusnya, kerjasama erat ahli akar umbi juga sangat diperlukan dalam membina kesatuan masyarakat majmuk yang utuh,” katanya.

Kata Kamaruzaman lagi, tempoh 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah adalah sejarah hitam politik negara dan cukup sekali untuk dijadikan pengajaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast