KUALA LUMPUR – Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan 3, Bandar Baru Bangi, Selangor, Nor Hainei Abu Bakar dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2020.

Manakala, bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi), Aminudin Adam dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Perutusan Khasnya sempena Sambutan Hari Guru yang disiarkan secara langsung sebentar tadi.

Menurut Perdana Menteri, anugerah itu merupakan penghargaan tertinggi negara kepada guru-guru yang telah mencurahkan khidmat bakti dan jasa yang tidak ternilai dalam mendidik anak bangsa.

“Saya berharap anugerah ini akan menjadi pembakar semangat kepada semua warga pendidik untuk terus bekerja keras dan memberikan sumbangan yang terbaik dalam melonjakkan lagi mutu pendidikan di negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menzahirkan pengharagaan kepada beberapa orang guru yang telah mencapai pelbagai kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan dan
antarabangsa.

Antara guru tersebut iaitu Abd Rahman Ali dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom yang telah dipilih sebagai Ikon Guru Teknologi Pendidikan Kebangsaan 2017, Ikon STEM
Kebangsaan 2018, MIE Expert Malaysia, Global Minecraft Mentor dan peserta Global Education Exchange Microsoft Sydney Australia 2020.

Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada Lee Saw Im, seorang guru mata pelajaran Kimia dari SMK Seri Bintang Utara yang telah berkhidmat selama 30 tahun.

Beliau telah menerima Global Teacher Award 2019 dan pernah dinobatkan sebagai pemenang “Best Science Teacher in South East Asia.

Seorang lagi guru yang turut mendapat perhatian Muhyiddin ialah Norhilmi Abdul Mutalib dari SMK Jerlun, Ayer Hitam, Kedah yang merupakan finalis untuk “Global Teacher Prize 2020 yang mana beliau adalah seorang guru yang inovatif dalam menghasilkan bahan pembelajaran menggunakan platform digital.

Muhyiddin juga tidak melupakan jasa Samuel Isaiah dari Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang yang juga turut disenarai pendek untuk Global Teacher Prize 2020.

Katanya, pendekatan pengajaran Samuel telah berjaya meningkatkan pencapaian murid di sekolah beliau yang terletak di luar bandar. – MalaysiaGazette