Gambar hiasan

SEOUL- Bilik karaoke kini menjadi salah satu daripada punca jangkitan kedua dan ketiga Covid-19 yang mana terdapat beberapa kes baharu yang masih belum jelas hubung kaitnya telah dikesan di pusat karaoke yang dikunjungi pesakit positif wabak berkenaan.

Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan telah mengenal pasti hubung kait di antara lima kes terbaharu di universiti dekat Hongdae, barat Seoul dengan kes-kes yang mempunyai kaitan dengan kelab malam dan bar di Itaewon iaitu penggunaan bilik karaoke yang sama.

Salah seorang pesakit di Hongdae yang mana laluan transmisinya masih belum dapat dikenal pasti telah menggunakan bilik karaoke yang sama tiga minit selepas ia digunakan oleh seorang pesakit Covid-19 daripada kluster Itaewon.

Rangkaian pemindahan virus tersebut turut dilaporkan di sebuah lagi pusat karaoke di selatan Seoul yang juga merupakan kontak rapat salah seorang daripada kluster Itaewon.

Dua individu yang telah mengunjungi pusat pusat karaoke itu disahkan positif Covid-19 walaupun mereka menggunakan bilik yang berlainan dengan pesakit kluster Itaewon.

Bagaimanapun, Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, Jeong Eun-kyeong menafikan kebarangkalian berlakunya penyebaran virus melalui sistem pengudaraan.

Jelasnya, virus Covid-19 itu hanya tersebar melalui titisan cecair yang dikeluarkan melalui udara apabila menyanyi.

“Terdapat kemungkinan virus tersebut tersebar melalui penggunaan kawasan umum seperti tandas dan bilik rehat.

“Kita melihat kebarangkalian pemindahan virus lebih tinggi menerusi kawasan yang dikongsi bersama berbanding sistem pengudaraan,” tegasnya.

Korea melaporkan 153 kes yang dikaitkan dengan kluster Itaewon.- Agensi