Pengarah Jabatan Agami Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail.

KUALA LUMPUR – Meskipun berpuas hati dengan kadar pematuhan prosedur standard operasi (SOP) semasa solat Jumaat, semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Ajib berkata, beliau tetap komited untuk memastikan ia berkekalan.

Semalam, buat pertama kalinya kerajaan membenarkan solat Jumaat, solat fardhu dan tarawih berjemaah diadakan di masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan selepas hampir dua bulan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebenarnya risau juga. (Takut berlakunya pelanggaran SOP), bimbang nanti kerajaan tarik balik kebenaran tersebut.

“Selepas hampir lapan minggu tidak bersolat Jumaat, (kita mahu pastikan tiada berlaku pelanggaran SOP kerana jika ada, kerajaan boleh mengambil tindakan.

“Disebabkan itu, saya selalu mengingatkan pengerusi masjid dan surau Jumaat supaya semua SOP yang diberikan dapat dipatuhi sepenuhnya,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini

Jelas Mohd. Ajib, beliau sangat risaukan kadar pematuhan SOP di surau-surau Jumaat di bawah kendalian Jawi kerana pada asalnya tiada anggota polis ditempatkan untuk membuat pemantauan seperti mana di masjid-masjid.

Katanya, prosedur satu masjid, seorang polis (1M1P) memudahkan kerja-kerja pemantauan SOP bagaimanapun tiada SOP sedemikian di surau-surau Jumaat.

Bagaimanapun, dengan kerjasama pihak polis dan anggota penguatkuasaan Jawi tiada pelanggaran SOP berlaku di masjid dan surau-surau Jumaat di bawah bidang kuasa agensi tersebut walaupun garis panduan yang telah ditetapkan sangat ketat.

Ini termasuk tidak boleh menggunakan tandas dan mengambil wudhu di masjid atau surau kecuali berlakunya kecemasan serta jemaah yang hadir mestilah mendapat jemputan terlebih dahulu bagi memastikan had maksimum 30 orang termasuk pengurusan masjid dan imam dapat dipatuhi, katanya.

Terdapat 25 masjid dan 31 surau Jumaat di bawah bidang kuasa Jawi di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah mengadakan solat Jumaat, semalam.

Menyentuh mengenai gambar tular ketidakpatuhan SOP dalam kalangan media semasa membuat liputan solat Jumaat semalam, Ajib menegaskan, masjid tersebut bukan di bawah kendalian JAWI.

Bagaimanapun, beliau mengambil maklum perkara tersebut dan dalam masa yang sama memahami kekangan tugas yang dihadapi oleh pengamal media ketika membuat liputan berkenaan.

“Saya tidak dapat tidur semalam kerana menerima pelbagai pesanan WhatsApp mengenai gambar yang tular tersebut.

“Masjid berkenaan bukan di bawah bidang kuasa JAWI tetapi kami mengambil maklum mengenai perkara itu supaya dapat melakukan penambahbaikan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette