Dr Tan Chon Seng menunjukkan Cendawan Susu Harimau.

KUALA LUMPUR – Orang ramai disaran meningkatkan sistem imunisasi tubuh mereka sebagai salah satu alternatif mengekang penularan virus Covid-19.

Pegawai penyelidik MARDI, Dr. Tan Chon Seng berkata, walaupun kerajaan memberi kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hakikatnya virus di seluruh dunia termasuk di negara ini masih berisiko.

Ini kerana jelas beliau, vaksin pencegahan dan ubat-ubatan khusus untuk rawatan berkaitan masih belum ditemui.

“Kesedaran orang ramai terhadap amalan pengambilan makanan seimbang dan ditambah dengan pengambilan makanan tambahan untuk meningkatkan sistem imunisasi tubuh perlu disebarluaskan.

“Langkah ini dapat membantu tubuh meningkatkan kekuatan imuniti lantas berupaya menurunkan kesan mudarat akibat virus covid-19. Diketahui umum bahawa terdapat pelbagai makanan tambahan berasaskan tumbuhan semulajadi tetapi orang ramai disaran untuk memilih produk yang telah mendapat sijil pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas pra pelancaran Muzium Cendawan Susu Harimau (CSH) milik syarikat tempatan, Ligno Biotech Sdn. Bhd secara dalam talian di Balakong dekat sini baru-baru ini.

Muzium tersebut telah dibuka tahun lalu kepada orang ramai dan mempamerkan pelbagai informasi seperti sejarah penemuan cendawan, kajian bersama beberapa universiti tempatan dan luar tempatan, aktiviti pengumpulan kulat bersama masyarakat orang asli di hutan, proses dan kaedah penanaman di dalam makmal, serta proses penghasilan produk kepada serbuk dan kapsul.

Dr. Tan yang telah bersara merupakan Penasihat Teknikal kepada syarikat tersebut menambah, Cendawan Susu Harimau (CSH) atau Tiger Milk Mushroom adalah sejenis cendawan herba tempatan dan merupakan khazanah Malaysia.

Ujar beliau, ia digunakan oleh masyarakat setempat sebagai salah satu kaedah perubatan tradisi sejak lebih 500 tahun dahulu untuk masalah berkaitan paru-paru dan sistem pernafasan.

“Syarikat Ligno Biotech Sdn. Bhd. telah menyenaraikan CSH sebagai bahan aktif untuk perubatan tradisi di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) pada tahun 2010 dan telah berada di pasaran lebih daripada 10 tahun.

“Secara tradisi CSH telah digunakan untuk membantu dalam masalah kesihatan sistem pernafasan seperti batuk kronik, asma, resdung, demam dan selesema. Simptom-simptom ini juga dapat dilihat pada pesakit-pesakit yang dijangkiti Covid-19,” katanya.

Dr. Tan Chon Seng

Tan dan Ligno Biotec  telah lama bekerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan telah menghasilkan banyak data saintifik yang boleh dirujuk.

Antaranya kerjasama dengan Profesor Madya Dr. Fung Shin Yee dari Universiti Malaya .

Kerjasama tersebut telah menunjukkan CSH mempunyai aktiviti anti-keradangan dan imuno-modulasi yang tinggi.

“Ciri-ciri ini adalah bukti bahawa ianya mampu membantu untuk merawat masalah paru-paru dan sistem pernafasan,” kata Tan.

Tambahnya, virus Covid- 19 berupaya membawa kesan mudarat terutamanya jika tubuh badan mempunyai tahap imuniti yang rendah tanpa mengira usia.

Setakat ini, jelas beliau hanya kekuatan sistem imuniti badan yang dapat menentukan kemampuan tubuh manusia bagi melawan penyakit berkaitan.

Malah ujar Tan, ini adalah kali pertama virus seumpamanya itu melanda seluruh dunia di mana individu yang mempunyai sistem imuniti yang lemah berhadapan dengan risiko jangkitan dan kematian.

Tambahnya, terdapat kajian awal yang menunjukkan cendawan herba itu berupaya membantu mereka yang dijangkiti virus selesema seperti virus Influenza A selain membantu mengurangkan tahap kritikal simptom yang dialami dan proses pemulihannya jauh lebih cepat.

“Kami telah berkolaborasi dengan Universiti Chulalongkorn, Thailand yang menjalankan penyelidikan menggunakan virus HIV dan hasil penyelidikan menunjukkan CSH berjaya menghalang enzim yang diperlukan oleh virus tersebut untuk memasuki sel badan.

“Tanpa enzim tersebut, virus HIV tidak dapat membiak. Ini mungkin sama juga dengan Covid-19 dan besar kemungkinan mampu mengurangkan kadar jangkitan.

“Rawatan atau ubat untuk menyembuhkan Covid-19 belum ditemui dan keadaan semakin kritikal. Dengan mengamalkan pemakanan CSH, ia dapat membantu untuk melanjutkan lagi masa kepada pesakit membina antibodi bagi melawan virus tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Ligno Biotech telah mendapat pengiktirafan dan bantuan daripada pihak kerajaan antaranya mempunyai status Bionexus dan kerjasama dengan SME Corporation, Biotech Corporation di bawah program BioNext seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sejak 10 tahun lalu.

Untuk mendapatkan keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari akaun facebook Cendawan Susu Harimau. – MalaysiaGazette