Pemeriksaan suhu dijalankan sebelum memasuki kelas. foto Agensi

BEIJING – China melaporkan lima kes baharu Covid-19 ketika hab komersial Shanghai mengumumkan pembukaan semula beberapa sekolah dan memulihkan penerbangan

Daripada kes tersebut, dua diimport dan tiga lagi dari wilayah Jilin.

Di Shanghai, pelajar mempunyai pilihan untuk terus mengikuti kelas dalam talian atau menjalani ujian saringan virus dan langkah-langkah penjarakan sosial di sekolah.

Seperti di Beijing dan bandar-bandar lain, Shanghai telah memulakan semula kelas untuk pelajar sekolah menengah dan tinggi yang bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan.

Tidak ada kematian baru yang dilaporkan selama sebulan lalu tetapi Jilin menambahkan satu kematian secara retroaktif, menjadikan jumlah keseluruhan China menjadi 4,634 daripada 82, 947 kes yang direkodkan sejak wabak itu pertama kali dikesan di bandar pusat Wuhan akhir tahun lalu.

Hanya 86 orang masih mendapat rawatan Covid-19 di hospital manakala seramai 519 lagi dikuarantin kerana positif tetapi tiada simptom.

China kini mempunyai kapasiti melaksanakan sebanyak 1.5 juta ujian sehari, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.

Dalam pada itu, jumlah penerbangan domestik juga sudah 60% beroperasi, melepasi 10,000 sehari buat kali pertama sejak 1 Februari. – MalaysiaGazette