Willian.

LONDON – Pemain sayap Chelsea, Willian mendedahkan pemain amat mengharapkan untuk kembali beraksi selepas aksi Liga Perdana Inggeris itu terpaksa dihentikan lebih dua bulan susulan penular wabak Covid-19.

Namun pemain antarabangsa Brazil itu berpendapat adalah lebih baik sekiranya kempen liga kembali bersambung apabila keadaan benar-benar selamat buat semua yang terlibat.

Willian turut percaya kebanyakan  pemain dalam kancah paling popular di dunia itu juga tidak selesa dengan cadangan untuk kembali menyambung baki saingan liga pada Jun nanti.

”Sejujurnya apa yang saya lihat, ramai pemain mengatakan mereka tidak selesa dengan cadangan untuk kembali menyambung saingan liga pada ketika ini.

”Kami memang berharap untuk melihat liga kembali bersambung dan rindu untuk kembali beraksi dan melakukan apa yang kami sukakan.

”Tetapi biarlag keadaannya betul-betul kembali selamat untuk kita semua beraksi di padang. Begitulah cara kami melihat perkara ini dan kami perlu menjadi keutamaan,” ,” ujarnya kepada Goal.com.

Sebelum ini, beberapa pemain seperti Sergio Aguero, Troy Deeney dan Danny Rose turut mempersoalkan cadangan EPL disambung semula pada Jun ini yang subjektif untuk diperkatakan.

Ketika ini, United Kingdom merupakan antara negara yang terjejas teruk berikutan wabak yang masih tiada vaksin ini apabila dilaporkan terdapat 240,000 kes dan turut mengakibatkan kematian hampir 34,000 nyawa. – MalaysiaGazette