Gambar yang dimuatnaik oleh Dr. Tintra Mahindra

JAKARTA- Pengguna media sosial menggunakan tanda pagar #IndonesiaTerserah (suka hatilah Indonesia) bagi menzahirkan kekecewaan mereka terhadap sikap orang ramai yang tidak mengendahkan langkah pencegahan wabak Covid-19 termasuk mengamalkan penjarakan sosial.

Tanda pagar tersebut ditujukan kepada dasar-dasar kerajaan yang tidak konsisten.

Tanda pagar berkenaan mula tular apabila beberapa keping foto dan video petugas kesihatan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) penuh sambil memegang poster yang mengandungi ayat tersebut.

Selebriti media sosial yang juga seorang doktor Covid-19, Tirta Mandira Hudhi mempopularkan tanda pagar tersebut apabila memuat naik salah satu gambar berkenaan di akaun Instagram beliau.

“Indonesia? Suka hatilah. Buatlah sesuka hatimu!

“Ini adalah berdasarkan apa yang berlaku di Sarinah (beberapa hari lepas) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta,” katanya dalam kapsyen hantaran tersebut.

Dr. Tirta merujuk kepada dua insiden berasingan iaitu melibatkan ratusan orang berhimpun sempena penutupan restoran McDonald’s di Sarinah, Jakarta Tengah dan pelanggaran perintah kawalan sosial secara besar-besaran di lapangan terbang Soekarno Hatta.

Dua insiden tersebut berlaku selepas Kementerian Pengangkutan membuka perkhidmatan pengangkutan udara, darat dan laut yang mana telah mencetuskan kritikan keras daripada pakar-pakar.

Setakat semalam, Indonesia merekodkan 17,520 kes positif Covid-19 dengan 1,148 kematian.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast