Pesakit-pesakit Covid-19 dirawat di ICU di sebuah hospital di Guarulhos, Sao Paulo. foto Agensi

BRASILIA – Sistem kesihatan di Sao Paulo, bandar terbesar di Brazil dijangka lumpuh susulan peningkatan permintaan bagi katil-katil kecemasan bagi merawat kes koronavirus,

Datuk Bandar Sao Paulo, Bruno Covas berkata, kapasiti hospital-hospital awam di bandar itu sudah mencapai 90% dan dijangka kekurangan katil dalam tempoh dua minggu.

Sao Paulo merupakan salah satu wilayah yang paling terjejas teruk dengan Covid-19.

Setakat ini ia merekodkan 3,000 kematian.

Sabtu lalu, Brazil mengatasi Sepanyol dan Itali untuk menjadi negara keempat terbesar dijangkiti dengan wabak tersebut.

Kementerian Kesihatan melaporkan sejumlah 7,938 kes baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan angka keseluruhan kes melonjak kepada 241,000.

Setakat ini, Amerika Syarikat, Rusia dan United Kingdom merekodkan jumlah kes jangkitan yang tinggi.

Jumlah kematian di negara Latin Amerika dalam tempoh 24 jam ialah 485 – bermakna jumlah kes kematian sebanyak 16,118 – angka kelima terbesar di dunia.

Pakar-pakar kesihatan di Brazil memberi amaran bahawa jumlah sebenar kes jangkitan di negara ini mungkin lebih tinggi daripada yang direkodkan kerana kekurangan ujian saringan.

Presiden Jair Bolsonaro telah dikritik hebat kerana gagal menangani wabak koronavirus setelah melanggar nasihat penjarakan sosial.

Malah, beliau sendiri bergambar dengan penyokong-penyokongnya dan kanak-kanak di Brasilia.

Covas berkata, beliau kini sedang berbincang dengan gabenor untuk melaksanakan sekatan ketat dalam usaha mengurangkan jangkitan sebelum keadaan di hospital-hospital menjadi lebih parah. – MalaysiaGazette