Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong hari ini menasihatkan pemimpin-pemimpin politik agar tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat sedang berdepan dengan masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik Covid-19.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah juga berpesan sebagai seorang pemimpin mereka hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik.

Selain itu, mereka juga sentiasa menjadi teladan dalam menyemai nilai-nilai positif kepada rakyat.

Ini termasuk menjiwai keluh-kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik yang bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa mahupun kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Titah baginda lagi, perbezaan pendapat seharusnya menjadi landasan kepada pencetus idea-idea baharu untuk membangun dan menyatupadukan negara.

“Sesungguhnya, perpaduan dan keharmonian bermula di dalam dewan yang mulia ini,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Penggal Ketiga Sidang Parlimen ke-14 di sini hari ini.

Baginda yakin rakyat akan terus erat, bersatu-padu dan sepakat dalam membangunkan negara jika mereka tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.

”Justeru berbahaslah dengan penuh tanggungjawab dan sentiasalah menunjukkan kematangan politik yang positif untuk dicontohi rakyat jelata. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. YB banyak-banyak yang sudah tua-tua, mampu ke terima nasihat lagi, atau ikut kepala sendiri sahaja.

  2. Daulat Tuanku.. Benar kata Tuanku itu… Tapi Yb pembangkang ni boleh dikatakan seperti sampah saja.. Hanya sebahagian boleh digunakan semula… Yg lain hanya jadi racun penyebar kuman virus fitnah saja…..

Comments are closed.