Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Nasihat dan pesanan yang dititipkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat adalah tepat ketika negara sedang menghadapi cabaran besar ketika ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengakui rakyat sedang mengalami kesukaran hidup ekoran penularan wabak Covid-19, justeru ahli politik bertindak secara prihatin dengan situasi semasa dan tidak menambah kesukaran dengan perbuatan yang boleh menimbulkan ketidakstabilan pemerintahan.

Menurutnya, ketika ini ekonomi negara diancam dengan pelbagai cabaran luar seperti perang perdagangan China-Amerika Syarikat, kejatuhan harga minyak, halangan perdagangan oleh negara tertentu, komoditi sawit yang dikait dengan alam sekitar dan pandemik Covid-19 seumpama perang dunia ketiga.

”Kita perlu merancang dengan teliti untuk mengadakan pakej rangsangan khas tambahan bersepadu yang baru, Bajet 2021 yang mantap dan RMKe-12 yang menyeluruh bagi membangkitkan semula ekonomi negara.

”Adalah perlu segera pemikir dan pembuat dasar duduk berunding untuk menghasilkan idea bernas bagi membina semula ekonomi rakyat dan ekonomi negara,” katanya yang mengulas titah Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Penggal Ketiga Sidang Parlimen Ke-14 hari ini.

Dalam titah tersebut, baginda menasihati Ahli-Ahli Parlimen dan kerajaan menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kpd prinsip adil, berbudaya politik bersih, berpolitik matang yang positif agar dicontohi oleh rakyat jelata.

”Saya menjunjung kasih atas nasihat yang sangat berguna itu dan akan mengamalkannya dalam khidmat sebagai Ahli Parlimen dan Setiausaha Agung UMNO.

”Titah itu sangat tepat pada waktu negara sedang menghadapi cabaran yang besar ketika ini,” ujar Ahmad. – MalaysiaGazette