KUALA LUMPUR – Bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, yang didakwa atas empat pertuduhan bersubahat dengan syarikat itu, berhubung penjualan nota jaminan dan bon dimiliki anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai AS$6.5 billion, kini masih berada di Amerika Syarikat untuk dibicarakan di negara itu, berkaitan skandal 1MBD.

Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir memaklumkan perkara itu, ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini, yang turut dihadiri peguam Cains Tan bertindak bagi pihak Ng.

Zaki Asyraf berkata, Ng masih berada di Amerika Syarikat bagi dibicarakan atas pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB di negara itu, dan pihak Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat juga telah meminta ekstradisi terhadapnya disambung sehingga kes selesai.

“Difahamkan, kes Ng di negara itu masih di peringkat ‘discovery’ dan dia masih belum dibicarakan terhadap pertuduhan dihadapinya, Saya tidak dapat pastikan bila dia akan kembali ke Malaysia,” katanya.

Tan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya juga tidak mempunyai pengetahuan bila anak guamnya itu akan kembali ke Malaysia.

Hakim Mohamed Zaini kemudiannya menetapkan 29 Jun ini untuk pengurusan kes selanjutnya, untuk pihak-pihak mengemas kini status terkini Ng kepada mahkamah.

Ng pada 19 Disember 2018 telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, dengan empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan nota jaminan dan bon milik anak syarikat 1MDB bernilai AS$6.5 billion, dengan mengeluarkan fakta material serta mengemukakan pernyataan palsu.

Ng, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan. Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di pejabat 1MDB, di Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac 2012, dan 11 Nov 2013.

Beliau didakwa mengikut Subseksyen 370(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pada Mei tahun lepas, Ng telah diekstradisi ke Amerika Syarikat bagi menghadapi pertuduhan jenayah oleh Jabatan Kehakiman AS berkaitan skandal 1MDB. – Bernama