Sebahagian pendatang asing tanpa izin yang ditahan oleh Imigresen dalam serbuan di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 MEI 2020

PETALING JAYA – Seramai 1,763 warga asing tanpa dokumen telah ditahan dalam serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen dengan kerjasama pelbagai agensi serta pihak berkuasa tempatan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua mereka kini ditempatkan di depo tahanan Imigresen sementara menunggu proses penghantaran balik ke negara masing-masing.

Bercakap kepada pemberita selepas menyertai operasi pemindahan warga asing di sekitar Pasar Jalan Othman di sini, katanya, beberapa operasi telah dijalankan sejak 1 Mei lalu bermula di Jalan Masjid India meliputi Selangor Mansion, Malaya Mansion dan Menara City One.

Beliau berkata, operasi kemudian diteruskan ke Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Borong Selayang, manakala hari ini di Pasar Jalan Othman adalah yang terakhir menyaksikan warga asing tanpa dokumen dari Indonesia, India, Bangladesh dan Pakistan telah ditahan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud bercakap kepada media selepas membuat serbuan di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 MEI 2020

“Ada juga warga asing yang mempunyai dokumen tetapi telah tidak sah laku,” katanya.

Menurut Khairul Dzaimee, semua warga asing yang ditahan telah menjalani saringan Covid-19 dan kesemua mereka disahkan negatif, malah ada yang telah disahkan dua kali bebas daripada pandemik itu.

Sehubungan dengan itu, katanya, tidak timbul sebarang risiko jangkitan Covid-19 di depo tahan Imigresen malah kebajikan setiap tahanan dijaga dengan makan dan minum disediakan selain rawatan perubatan jika mereka mengalami masalah kesihatan.

Mengulas lanjut, katanya, pihak Imigresen kini sedang bekerjasama dengan kedutaan negara asal warga asing yang ditahan untuk melengkapkan proses dokumentasi undang-undang sebelum pengusiran pulang dapat dilaksanakan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hantar semuanya ke MP Pj, PHaruupun Maria chin, dia tengah meroyan jabatan immigration tahan PATI. KO dok cakap Rule of Law tapi ko sokong tauke2 yg ambik PATI bekerja dengan mereka. Ambik tindakan keatas tauke2 ini sekali kerana melindungi PATI. PN betul2 tunjuk rule of law.

    Tauke2 nie dah mua tak payah bayar permit pekerja. Kerajaan rugi rakyat tanggung risiko atas segala macam penyakit yg dibawa PATI2 ini. Inilah kerja DAP dan PKR – MELINGDUNGI TAUKE2 DAN MAFIA2. Marina chin, BERSIH konon, rule of law konon..

Comments are closed.