Anggota polis memeriksa Kod Respon Pantas (QR Code) pada aplikasi Gerak Malaysia atau dokumen perjalanan orang ramai yang melalui sekatan jalanraya berikutan kerajaan membenarkan orang ramai yang terkandas di kampung atau tempat lain untuk pulang ke rumah masing-masing dengan pergerakan bermula dari Kuala Lumpur semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Genting Sempah, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 07 MEI 2020.

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed

Tinggal beberapa hari saja lagi untuk umat Islam negara ini menyambut Hari Raya Aidilfitri namun masing-masing sudah mula risau memikirkan kemungkinan tercetusnya kluster baru wabak Covid-19 iaitu, kluster Hari Raya. Kerisauan ini ada asasnya kerana mengikut pihak berkuasa bilangan pengguna jalan raya yang terus degil dan cuba untuk merentas sempadan negeri termasuk menggunakan laluan tikus untuk pulang ke kampung terus meningkat. Kelompok ini dikatakan cuba memperdaya pihak berkuasa dengan pelbagai alasan dan tipu helah yang tidak
wajar.

Senario ini menunjukkan masih ramai lagi yang degil dan tidak mempedulikan mesej yang disampaikan oleh pihak berkuasa iaitu, jangan cetuskan kluster Hari Raya. Persoalannya, kenapa susah sangat untuk mematuhi arahan kerajaan iaitu, jangan
merentas sempadan negeri untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing. Anggota masyarakat perlu sedar tindakan kurang cerdik seperti menipu pihak berkuasa hanyalah umpama menipu diri sendiri dan boleh menyumbang kepada risiko penularan wabak yang lebih serius. Hal ini penting kerana jika kita pulang ke kampung dalam situasi sekarang kemungkinan besar kita akan membahayakan nyawa keluarga tersayang di kampung terutamanya ibu bapa dan golongan kanak-kanak. Persoalannya apakah kita mahu melihat mereka dijangkiti
wabak ini? Sedarlah sehingga 16 Mei 2020, terdapat 317 kes positif Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak 12 tahun ke bawah.

Di samping itu, kita juga perlu beringat agar tidak menerima pengunjung atau mengunjungi rumah orang lain kerana turut boleh menyumbang kepada risiko cetusan kluster Hari Raya. Walaupun aktiviti ziarah-menziarahi dibenarkan dalam
kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa, namun percayalah ianya tetap mengundang risiko yang cukup tinggi kerana khuatir kita tidak mampu mengawal
keadaannya kelak. Harus diingat juga, janganlah kita letak tuan rumah dalam kedudukan serba salah dengan kunjungan kita umpama ditelan mati emak, diluah mati bapa. Ini kerana tindakan tersebut bukan saja membahayakan kita malah turut
akan membahayakan tuan rumah.

Anggota masyarakat juga wajar mendengar nasihat kementerian agar turut tidak mengunjungi atau menziarah tanah perkuburan ketika Hari Raya Aidilfitri kali ini. Langkah itu adalah bagi memastikan usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19
akan tercapai. Perlu ingat sentiasa bahawa, jika kita terdedah kepada virus, kita mungkin ‘membawa balik’ virus tersebut ke rumah dan boleh menjangkiti mereka yang berisiko tinggi.

Sebagai tambahan, anggota masyarakat juga perlu sentiasa peka dengan situasi wabak di kawasan sendiri, misalnya jika kita berada di zon merah, adalah sangat tidak wajar untuk kita keluar dan pergi ziarah ke kawasan lain. Begitu juga sebaliknya, walaupun kita berada di zon hijau, elaklah untuk berkunjung ke zon lain yang lebih berisiko. Sekali lagi jalan paling mudah dan selamat ialah, tidak perlu berziarah langsung.

Mahu tidak mahu kita perlu bertindak dengan matang dan rasional dalam menyambut lebaran kali ini. Sedar bahawa keputusan tegas kerajaan adalah demikebaikan kita bersama. Tiada gunanya kita melanggar peraturan atau ingkar perintah
yang akhirnya boleh merugikan diri kita sendiri. Ingat, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

Tuntasnya, janganlah degil sehingga tercetus kluster Hari Raya. Tolong kawal diri dan dengar nasihat serta patuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa demi keselamatan diri, keluarga dan orang lain. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membantu memutuskan rantaian penularan wabak ini. Oleh itu, duduklah diam-diam di rumah dengan amalkan perintah berkurung di rumah sendiri bersama keluarga, dan percayalah hubungan silaturrahim yang ada tidak akan terputus hanya kerana kita tidak pulang ke kampung atau ziarah rumah sanak
saudara pada kali ini.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Komunikasi Korporat, Universiti Putra Malaysia

 

1 Komen

Comments are closed.