Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mengakui melantik bekas Setiausaha Politiknya, Azli Yusuf sebagai Ahli Lembaga Penasihat DBKL.

Namun katanya, jawatan itu tidak berfungsi memberi kelulusan kepada apa-apa permohonan.

Sebaliknya Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, jawatan tersebut menasihati Datuk Bandar dalam isu-isu berkaitan dasar DBKL.

Menurutnya lagi, lantikan Azli itu dibuat berdasarkan pengalaman sebagai Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama dua sesi, selain mempunyai kelulusan dari sebuah universiti di Amerika.

“Bekas SU Politik saya Ahli Lembaga Penasihat DBKL. Ianya jawatan non-executive dan hanya berfungsi menasihati Datuk  Bandar dalam isu-isu dasar. Lembaga tersebut tidak memberi kelulusan untuk apa-apa permohonan.

“Dengan pengalaman dan ilmunya, dia dipercayai boleh menasihati Datuk Bandar DBKL dalam banyak persoalan,” katanya dalam blog beliau.

Khalid juga mengaku bekas Setiausaha Politiknya itu merupakan Ketua Parti Amanah Negara (PAN) Shah Alam sejak 2015 yang disifatkanya mempunyai potensi menggantikannya sebagai wakil rakyat di situ.

“Saya Ahli Parlimen Shah Alam sejak 2008, kawasan 80% pengundi Melayu yang telah menangkan saya dengan majoriti sebanyak 30 ribu lebih pada 2018. Shah Alam kawasan Melayu dan mereka inginkan wakil dan kepimpinan yang bebas rasuah,” tambahnya.

Beliau berkata demikian sebagai respon persoalan yang ditimbulkan oleh Datuk Seri Najib Razak menerusi hantaran di Facebooknya.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri itu meminta Khalid menjelaskan adakah bekas Setiausaha Politik Khalid yang kini direman polis berikutan aduan sebuah syarikat yang diberi DO (arahan pembangunan) palsu oleh seorang ‘broker’ yang merupakan Ahli Lembaga DBKL, dalam masa yang sama mempunyai jawatan dalam PAN di Shah Alam.

Khalid juga dalam masa yang sama mengaitkan ‘broker’ yang dipersoalkan Najib dengan Jho Low.

“Maksud ‘broker’ adalah orang seperti Jho Low. Takkan Jib tak tahu? Bukankah Jib dikatakan banyak gunakan khidmat beliau untuk bantu Melayu khususnya di Parlimen Pekan? Hanya dalam kes ni broker itu mendakwa dia wakili Hj. Azli. Tetapi ianya tak benar. Bukan seperti kes Jho Low yang dikatakan amat rapat dengan Jibby.” tambahnya.

17 Mei yang lalu, dilaporkan seorang arkitek berurusan dengan lelaki dipercayai bergelar Datuk serta isterinya masing-masing berusia 66 dan 43 tahun bagi mendapatkan kelulusan perancangan bangunan pembangunan pada awal Jun tahun lalu.

Kemudian Khalid menerusi Twitter mengesahkan bekas Setiausaha Politiknya itu kini direman polis berikutan aduan sebuah syarikat yang diberi DO palsu oleh seorang ‘broker’.

Beliau mendakwa, broker tersebut menerima ganjaran dengan menjual nama bekas pegawainya, Hj Azli.

Dia dituduh menerima ganjaran bagi mendapatkan kelulusan perancangan pembangunan yang membabitkan kerugian RM1 juta.-MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Kita tunggu dan lihat lah nanti.. kalid tak perlu risau kalau tiada kaitan dgn kes ini haha

  2. Apa jenis nasihat berimpak tinggi yang telah diberikan? Saje nak tahu!

    Eloklah juga bentangkan nasihat2 tersebut dalam mahkamah nanti!

  3. Lid tak payah nak komen banyak2 kes dalam siasatan. Let the law takes it course.

Comments are closed.