Gambar hiasan

(Reuters) – Kes koronavirus dunia kini melepasi angka lima juta dengan Amerika latin mengatasi Amerika Syarikat dan Eropah untuk mencatatkan kes terbesar harian di dunia, dalam tempoh seminggu.

Amerika Latin mencatatkan satu pertiga daripada 91,000 kes yang dilaporkan di dunia minggu ini manakala Eropah dan Amerika Syarikat, masing-masing merekodkan hanya lebih 20 peratus sahaja.

Sejumlah besar kes baharu direkodkan di Brazil menjadikan negara tersebut negara ketiga terbesar dilanda wabak itu di belakang Amerika Syarikat dan Rusia.

Dengan lebih lima juta kes, virus tersebut telah menjangkiti lebih ramai manusia dalam tempoh kurang enam bulan berbanding jumlah keseluruhan kes selsema teruk dalam masa setahun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan kes selsema teruk global adalah sekitar tiga juta hingga lima juta setahun.

Pandemik ini juga telah mengorbankan 326,000 nyawa. Bagaimanapun angka sebenar dianggarkan lebih tinggi kerana ujian saringan yang terhad dan banyak negara yang tidak memasukkan kes kematian di luar hospital ke dalam statistik.

Lebih separuh daripada jumlah kematian direkodkan di Eropah.-Agensi