Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini menafikan dua lagi berita palsu yang ditularkan di media sosial ketika negara menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Pasukan Respon Pantas KKMM, dua laporan palsu kali ini melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Antaranya ialah Pengarah JKNS, Dr Chin Zin Hing menafikan dakwaan bahawa oleh kerana tiada ujian saringan Covid-19 dilakukan di Sarawak, maka tiada kes baharu dikesan di negeri itu dalam tempoh enam hari berturut-turut.

“Ujian saringan Covid-19 masih dijalankan seperti biasa walaupun jumlah kes positif di Sarawak mula menunjukkan trend mendatar sejak kebelakangan ini,” kata Pasukan Respon Pantas KKMM dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan pula menafikan dakwaan ada anggota perubatan lengkap Peralatan Perlindungan Diri (PPE) membawa seorang warga emas berkerusi roda yang positif Covid-19 di Wisma Sentosa di Kuala Pilah.

Sebaliknya pengerusinya, Mohd Faizal Abdul Manap menegaskan bahawa pesakit yang dimaksudkan itu hanyalah pesakit biasa sahaja.

“Sehingga kini tiada kes terbaru positif Covid-19 di Kuala Pilah. Sebaliknya warga emas yang dimaksudkan adalah pesakit biasa, kini mendapat rawatan di Hospital Tunku Ampuan Najihah, Kuala Pilah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette