Anggota PDRM dan ATM membuat pemeriksaan pada sekatan jalan raya selepas kerajaan tidak membenarkan orang awam yang ingin pulang ke kampung untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Gombak, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Disebabkan kedegilan orang ramai yang masih cuba untuk pulang ke kampung berhari raya, kerajaan mengambil keputusan tegas melarang semua pergerakan rentas negeri dan berkuatkuasa hari ini sesiapa yang didapati cuba melakukan aktiviti tersebut akan dikompaun serta-merta.

Dengan itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan orang ramai supaya tidak lagi membuang masa pergi ke balai-balai polis untuk mendapatkan kebenaran merentas negeri.

“Kami menerima laporan, semalam seramai 1,300 orang beratur di Balai Polis Daerah Kuantan, Pahang untuk memohon kebenaran pulang ke kampung halaman.

“Ingin ditegaskan, pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan sama sekali.

“Bagi yang telah mendapat kebenaran sebelum ini, anda tidak mempunyai masalah untuk membuat pergerakan merentas negeri, sama juga kepada kes-kes kecemasan seperti kematian.

“Tetapi jika dilihat kepada apa yang berlaku semalam, tidak mungkin 1,300 orang yang beratur di tengah-tengah panas di IPD Kuantan itu semuanya kerana ada kes kematian,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tegasnya, arahan terbaharu itu juga merangkumi perjalanan merentas negeri dengan menggunakan pesawat.

Pihak polis katanya, mengadakan sekatan jalan raya di jalan-jalan masuk ke lapangan terbang dan mungkin perlu mengadakan pemeriksaan di kaunter-kaunter daftar masuk selepas larangan merentas negeri diperketatkan yang bermula hari ini.

Ketika ditanya mengenai berita seorang lelaki yang berbangga berjaya melakukan pergerakan rentas negeri secara haram, Ismail Sabri berkata, polis akan mencari lelaki tersebut.

“Sama seperti keluarga yang berswafoto apabila berjaya merentas negeri sebelum ini, saya rasa polis akan cari Mat Sayuti ini.

“Polis memang mengadakan sekatan jalan raya selepas plaza-plaza tol dan di jalan-jalan lama.

“Tetapi mungkin ada yang menggunakan lorong-lorong tikus di mana tiada sekatan jalan raya dibuat di kawasan tersebut, namun begitu seperti yang saya katakan sebelum ini, mereka mungkin terlepas semasa pulang ke kampung tetapi akan berhadapan hukuman apabila pulang semula ke tempat bermastautin,” tegasnya.

Ditanya mengenai terdapat aduan yang mengatakan ada pengguna jalan raya telah diarahkan berpatah balik ketika mahu melakukan pergerakan rentas daerah, Ismail Sabri menegaskan aktiviti rentas daerah masih dibenarkan.

Namun begitu, beliau mengesyaki, ada yang cuba menipu pihak polis semasa melalui sekatan jalan raya dengan memberi alasan untuk melakukan pergerakan rentas daerah sedangkan mereka berhasrat untuk merentas negeri.

“Polis mengetahui apa sebenarnya tujuan mereka kerana apabila ditanyakan soalan-soalan, pengguna jalan raya tersebut mungkin memberikan jawapan yang meragukan.

“Mereka mungkin beri alasan untuk rentas daerah tetapi sebenarnya mahu merentas negeri dan disebabkan itu pihak polis telah memberi arahan untuk berpatah balik.

Semalam  juga,  sebanyak  2,412  kenderaan  yang  cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh PDRM.-MalaysiaGazette