Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 78 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan pertambahan satu kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia iaitu 7,137 kes.

Katanya, daripada 78 kes baharu itu 25 kes adalah kes import manakala 53 lagi adalah penularan tempatan.

“Sebanyak 40 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 25 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, terdapat 63 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjaidkan jumlah kes yang dibenar keluar wad iaitu 5,859 kes atau 82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini Noor Hisham memaklumkan, terdapat sembilan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu beliau berkata, kes kematian ke 115 merupakan seorang lelaki warganegarga Malaysia berumur 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan buah pinggang.

Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 3 April dan disahkan meninggal dunia pada 21 Mei pukul 2.58 petang, katanya. – MalaysiaGazette