Gambar hiasan

Oleh: Profesor Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim

COVID-19 yang bermula dari wilayah Wuhan, China telah merebak ke seluruh dunia. Penularan virus tersebut memberi kesan besar kepada ekonomi dunia. Tiada negara yang tidak terkesan. Justeru, semua negara di dunia mengambil pelbagai langkah strategik untuk melakukan kawalan terhadap penularan pandemik Covid-19.Sebahagian besar aktiviti ekonomi terhenti dan sebahagian industri tidak menjalankan operasi. Secara umumnya, industri kehilangan sumber pendapatan dan menanggung kos untuk dibiayai. Secara langsung, pihak industri mengambil tindakan reaktif mengurangkan kos operasi menerusi kaedah pengurangan bilangan pekerja.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa seramai 1.25 bilion pekerja terancam di seluruh dunia akibat penularan pandemik Covid-19. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pula menyatakan bahawa pandemik ini memberi kesan yang amat serius terhadap pelbagai sektor pekerjaan
terutamanya perkhidmatan hotel dan makanan, pembuatan dan peruncitan. Menurut jangkaan ILO, dunia akan kehilangan 25 juta pekerja sepanjang tahun 2020. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula telah menjalankan kajian epidemiologi dan analisis komprehensif yang diterbitkan pada 23 Mac 2020. Dapatan menunjukkan bahawa seramai 2.4 juta akan hilang pekerjaan. 67% daripadanya adalah merupakan pekerja tidak mahir. Kajian MIER juga mendapati bahawa aktiviti perniagaan dalam talian mendapat permintaan yang sangat tinggi. Ini memberi peluang pekerjaan baharu bagi sektor pengangkutan dan perkhidmatan kurier untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran. Permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna
memberi peluang baharu dalam sektor perkhidmatan. Ia juga memerlukan kemahiran baharu dalam kalangan pekerja berteraskan penggunaan teknologi digital.

Dalam konteks Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membentangkan Pakej Bantuan Rangsangan Ekonomi sebanyak RM250 bilion. Ia merupakan inisiatif kerajaan memberi bantuan kepada semua golongan yang terjejas berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19. Usaha kerajaan ini bertujuan mengurangkan beban
kos sara hidup akibat daripada kehilangan pekerjaan. Antara bantuan yang diberikan termasuklah pengecualian bayaran sewa premis perniagaan, diskaun bil elektrik, insentif perkhidmatan telekomunikasi untuk menyokong usaha bekerja dari rumah. Program bantuan subsidi upah sebanyak RM600 dilaksanakan untuk tiga bulan bagi rakyat berpendapatan RM4,000 ke
bawah. Terdapat banyak lagi program bantuan seperti bantuan dana untuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), dana pinjaman dan pengecualian levi bagi memastikan aktiviti perniagaan berjalan dengan baik. Kesemua usaha ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko kehilangan pekerjaan dalam
kalangan rakyat.

Hakikatnya, keadaan masa kini sangat terkesan kepada bakal graduan bagi tahun 2020. Kadar persaingan untuk memperoleh pekerjaan adalah sangat tinggi. Bakal graduan perlu bersaing untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. Graduan yang mempunyai kemahiran dan kompetensi, mempunyai suatu
kelebihan dalam kebolehpasaran pekerjaan. Ia membolehkan majikan membuat pilihan dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi semasa. Jelasnya, bakal graduan perlu bersedia untuk menghadapi cabaran ini dan menggunakan kreativiti bagi menjalankan perniagaan. Bagi mereka yang telah
bergraduan dan belum memperoleh pekerjaan, mereka perlu berusaha untuk mengadaptasi situasi semasa dengan mengenal pasti kemahiran-kemahiran baharu yang diperlukan oleh industri. Mereka perlu mencari peluang untuk meningkatkan kemahiran supaya relevan dengan keperluan semasa.

Para graduan perlu menonjolkan keunikan kepakaran bidang mereka sebagai nilai tambah untuk dipilih sebagai pekerja. Di samping itu, para graduan perlu mengambil peluang untuk memperkayakan pengetahuan dengan sumber-sumber terbuka menerusi program latihan dalam talian. Mereka boleh memperolehi sijil-sijil kemahiran melalui pembelajaran dalam talian yang ditawarkan oleh organisasi dalam dan luar negara.
Dengan perkembangan terbaharu kesan daripada wabak Covid-19, kebanyakan pengurusan industri dan syarikat berlaku secara dalam talian. Ini telah merubah lanskap pekerjaan dan kaedah bekerja yang baharu. Kemahiran digital sangat diperlukan pada masa kini.

Justeru, graduan perlu mempunyai kemahiran menggunakan perisian-perisian asas yang membantu menjalankan tugasan harian secara dalam talian termasuk mengendalikan pertemuan, perbincangan dan mesyuarat. Di samping itu, kemahiran menggunakan perisian amat penting untuk menjalankan analisis terhadap sesuatu topik perbincangan. Kemahiran digital lain yang diperlukan oleh graduan adalah penggunaan sistem virtual realiti dan perisian simulasi. Kemahiran ini mampu melakukan analisis mendalam terhadap bidang kepakaran sesebuah syarikat.  Terdapat pelbagai sistem dan perisian yang digunakan untuk memudahkan urusan kerja, mengurangkan kos dan menjimatkan masa. Malah, permasalahan yang lebih kompleks memerlukan kemahiran pengaturcaraan. Ini memberi nilai tambah
kepada graduan untuk menempatkan diri dalam dunia pekerjaan.
Kemahiran keusahawanan juga sangat diperlukan oleh majikan.

Fenomena ini begitu relevan dalam situasi masa kini untuk mencari penyelesaian segera. Dengan itu, syarikat mampu mengatasi situasi semasa dengan lebih cepat dan menambahbaik kualiti produk dan perkhidmatan dengan nilai-nilai berdasarkan
norma baharu. Graduan yang berjaya mempunyai kemahiran ini akan mendapat kelebihan tempat untuk memenuhi kekosongan jawatan. Dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan, graduan dan bakal graduan perlu menerokai bidang perniagaan untuk membangunkan perusahaan sendiri. Ini menawarkan peluang yang terbuka luas untuk menawarkan produk dan perkhidmatan dengan mengambil peluang normal baharu berteraskan
penggunaan teknologi. Ini kerana peluang terbuka luas dengan pelbagai inisiatif, insentif dan bantuan disediakan untuk syarikat pemula. Kaedah pemasaran juga lebih luas dengan penggunaan media baharu melangkaui sempadan negara. Terdapat pelantar sedia ada yang telah menyediakan kemudahan  memasarkan produk dan menyediakan perkhidmatan. Para graduan juga mempunyai pilihan mencipta pekerjaan untuk bekerja sendiri dengan menawarkan kepakaran secara dalam talian. Terdapat pelbagai pelantar sedia ada yang telah dibangunkan untuk menawarkan perkhidmatan dan kepakaran. Pelantar yang disediakan adalah merentas sempadan negara. Dengan peralatan komunikasi sedia ada dan kos efektif memudahkan urusan untuk berinteraksi dalam memasarkan perkhidmatan, melakukan kerja dan pembayaran upah.

Di samping itu, graduan dan bakal graduan perlu bersedia untuk bersaing dengan menawarkan kebolehan yang pelbagai, mempunyai daya keusahawanan yang tinggi dan boleh mengadaptasi situasi semasa dengan lebih cepat. Jelasnya
terdapat pelbagai peluang wujud untuk dimanfaatkan untuk meneruskan kelangsungan hidup yang lebih sejahtera.
Dalam situasi masa kini, Kementerian Pengajian Tinggi perlu memberi fokus untuk menyelesaikan isu kebolehpasaran graduan. KPT perlu mewujudkan kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian untuk menerokai peluang baharu, sektor baharu dan menyediakan inisiatif mengukuhkan kemahiran dalam kalangan graduan. Dalam hal ini, kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk
menyediakan program latihan kemahiran baharu, meningkatkan kemahiran sedia ada dan melatih semula graduan supaya lebih kompeten serta memenuhi keperluan semasa.

Universiti Teknologi Malaysia telah menerokai inisiatif ini dengan
memperkenalkan rangka kerja “Life Ready Graduate”. Program ini memberi penekanan terhadap pembudayaan inovasi dan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa, nilai kelestarian dan kesejahteraan untuk dimanfaatkan oleh semua pihak berkepentingan. Melalui inisiatif ini, semua pihak perlu bekerjasama  menyediakan program ke arah  memperkayakan pengalaman mahasiswa supaya mampu menerokai peluang pekerjaan yang strategik. Di samping itu, mereka boleh memainkan peranan secara berterusan untuk mensejahterakan kehidupan masyarakat. Rumusannya, semua bakal graduan perlu diberikan pendedahan dan persediaan untuk memasuki dunia pekerjaan yang lebih mencabar.

Beliau juga adalah Pengerusi, Institute for Life Ready Graduate (UTM iLeaGue)