KUALA LUMPUR – Gempar, kecewa dan sakit hati apabila seorang gadis berusia 20 tahun bertindak luar dugaan dengan menggantung dirinya kerana tidak tahan di buli dalam laman sosial kelmarin.

Malah gadis itu sempat meninggalkan nota memohon maaf kepada keluaraga serta sahabat terdekatnya kerana terpaksa bertindak demikian kerana tidak sanggup lagi menahan cemuhan warga netizen berhubung video ‘tik tok’ yang dimuat naik.

Video tik tok itu turut disertai oleh rakan mangsa yang merupakan seorang lelaki warga asing.

Bagaimanapun, sebuah profil palsu di Facebook dengan nama ‘Joker Oruvan’ kemudian bertindak memuat naik video itu sambil melemparkan kata-kata berbaur menghina terhadap mangsa di ikuti provokasi oleh sekumpulan netizen.

Akibat tidak tahan dengan cemuhan dan lemparan berita palsu tersebut, mangsa sempat membuat laporan polis.

Namun komen-komen itu tidak dipadamkan, malah semakin banyak.

Akhirnya mangsa bertindak menggantung dirinya di Pulau Pinang Selasa lepas.

Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran berkata,  beliau sangat kecewa sehingga hilang kata-katanya kerana jenayah siber buli semakin hari semakin menakutkan.

“Sedih sebenarnya seseorang terpaksa mengambil nyawanya sendiri kerana tohmahan dan berita palsu. Gadis malang ini tidak kuat untuk berhadapan dengan kumpulan buli ini sebaliknya bertindak membunuh diri.

“Gadis itu dikaitkan dengan seorang lelaki warga asing Bangladesh yang hanya merupakan teman sekerja, malah video tik tok itu hanya tidak lebih daripada bahan hiburan semata-mata. Jadi mengapa ada rakyat dalam kalangan kita sanggup mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya sehingga membunuh gadis itu?

“Tahniah dan syabaslah kepada anda-anda yang menyebabkan anak muda itu menamatkan riwayatnya sendiri, cari penyelesaian salah dan singkat bagi tangani masalahnya. Adakah kumpulan buli siber ini puas hati? Matlamat anda tercapai?

“Siapa kamu untuk menjadi hakim atau keluarga mahupun sahabat untuk bercakap, mengutuk mahupun menegur tindak tanduk gadis itu? Itu bukan satu jenayah untuknya memuat naik video bersifat hiburan bersama kawannya sendiri. Apa masalah kalian?

“Apakah anda boleh bersabar sekiranya ini berlaku kepada kaum keluarga anda sendiri? Kumpulan siber buli ini sebenarnya perlu dicari sehingga lubang cacing, kenakan tindakan tindakan setegas mungkin supaya perkara seumpama ini tidak lagi berlaku.

“Ini soal nyawa, soal maruah soal masyarakat sekeliling kita. Mengapa mentaliti segelintir rakyat sudah jadi begitu rendah, buruk dan jijik sekali? Sebelum berikan komen-komen negatif, fikir dulu tentang keluarga anda, tentang akibat daripada perbuataan anda,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sambung Thanenthiran lagi, ketika ini dunia terlalu taksub dengan alam siber sehingga mendorong seseorang itu bertindak luar dugaan hanya semata-mata untuk mendapat ‘likes’ dan menambah jumlah ‘fan page’ dan sebagainya.

“Mungkin tindakan mangsa itu mendorong netizen marah atau memberi reaksi negatif tapi cukup-cukuplah. Ramai di luar sana yang sanggup ‘troll’ seseorang sehingga ke tahap paling rendah dan tidak terduga demi memastikan misi mereka tercapai, mendapat likes mahupun tambah bilangan ahli dalam satu-satu Facebook page tersebut.

“Kerana hasrat seperti, ramai sahaja di luar sanggup berbuat apa sahaja. Ada juga kumpulan yang terlampau ‘free’ sehingga tidak ada-ada apa kerja lebih berfaedah selain berterusan memberikan komen-komen negatif. Itu juga memberikan kepuasan kepada golongan ini.

“Dunia sekarang amat taksub untuk hidup di dunia maya yang hanya mementingkan pujian dan status selebriti yang bersifat segera. Terikut ikut dengan gaya hidup orang lain, meniru gaya dan menjadi terkenal sekelip mata tanpa menghiraukan impak moral dan psikologi yang akan menimpa kelak. Inilah dunianya,” tegasnya.

Jelasnya lagi, walaupun apa jua kata-kata serta hujah yang cuba diketengahkan olehnya mahupun mana-mana pihak di luar sana, hakikatnya nyawa gadis muda pastinya tidak akan dapat dikembalikan dalam apa jua cara.

“Bayangkan perasaan ibu bapanya yang telah membesarkan dirinya hampir 20 tahun. Mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana ada orang lain lebih ‘berkuasa’ menentukan mati hidupnya di luar sana.

“Tolonglah hentikan perbuataan buli ini, tidak kisah buli siber atau tindakan fizikal mahupun mental lain, buli adalah buli.

“Kerajaan juga perlu cuba menggunakan kaedah yang lebih rigid untuk memastikan bahawa akaun atas talian yang dibuka seseorang itu adalah sah. Jangan beri peluang kepada kumpulan ‘fake profile’ ini terus bermaharajalela sehingga membawa kemusnahan.

“Setiap orang yang membuka akaun atas talian harus melalui prosedur ketat supaya perkara yang tidak disenangi tidak berlaku. Bolehkah nyawa manusia disamakan dengan wang ringgit? Bolehkah kerajaan berupaya untuk mencari individu tersebut dan memastikan hukuman setimpal diberikan?

“Kalau kita tidak tahu akan maklumat yang sebenar jangan menyampuk dan jangan menjadi bijak pandai untuk memberikan apa jua komen. Dan kepada pentaksub, fikir seribu kali sebelum menjadi bahan ujikaji media sosial.

“Untuk kumpulan buli siber, tidak ada maaf bagimu. Jangan sesekali fikir anda terlepas, sepandai-pandai tupai akhirnya jatuh juga. Masa kamu juga akan tiba. Jangan lupa, anda kini pembunuh seorang gadis yang tidak bersalah.

“Untuk yang dibuli, tolonglah jangan patah semangat. Kuatkan diri, dapatkan bantuan. Jangan jadi mangsa kepada mereka kerana akhirnya anda rugi dan beri kemenangan kepada kumpulan tidak berperikemanusian untuk terus lakukan perbuatan hina ini kepada mangsa lain,” tegasnya. –MalaysiaGazette