Anggota Polis membuat sekatan jalan raya OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan wabak Covid-19 di Persiaran Surian, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 31 MAC 2020

PUTRAJAYA – Langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih efektif berbanding Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam mengurangkan jumlah jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun PKPB sedang dilaksana di negara ini ia tidak meningkatkan kes lebih tinggi.

“Walaupun PKPB kurang efektif, tetapi ia tidak meningkatkan kes dengan tinggi,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, pencegahan kes Covid-19 bukan terletak pada bahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebaliknya, ia tanggungjawab yang harus dipikul oleh semua pihak.

“Setiap daripada kita perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian,” ujarnya.

Beliau berkata, apa yang membimbangkan pihaknya adalah peningkatan kes positif yang mendadak selepas perayaan.

“Berdasarkan data dari luar negara, setiap kali perayaan mereka pulang ke kampung dan kes akan meningkatkan secara mendadak dua minggu selepas itu.

“Itu yang membimbangkan kami,” katanya lagi.

Tambah Noor Hisham, kes jangkitan Covid-19 di negara ini akan mencapai angka satu digit sekiranya rakyat mematuhi SOP pada perayaan ini.

“Sebaliknya kes akan mendadak sekiranya meminggirkan SOP,” jelas beliau. – MalaysiaGazette