KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki Rohingnya didakwa membunuh seorang kanak-kanak warga asing pada 11 Mei lalu di Mahkamah Majistret Ampang pagi tadi.

Remaja lelaki berusia 17 tahun itu hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Svetlana Nordin ke Kompleks Mahkamah Ampang sekitar jam 9 pagi tadi.

Remaja berkenaan didakwa membunuh kanak-kanak berumur enam tahun itu di bilik sebuah hotel di Jalan Memada 3, Ampang Jaya, antara jam 12.01 tengah malam hingga 1.30 pagi pada 11 Mei lalu.

Tertuduh yang merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa.

Remaja berkenaan mengangguk kepala ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah sebagai tanda memahami pertuduhan yang dihadapinya namun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Normaizan Rahim menetapkan 1 September 2020 sebagai tarikh sebutan semula kes terbabit sementara menunggu untuk mendapatkan dokumen laporan kimia dan forensik.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam kes sama, wanita Rohingya dipercayai ibu kepada mangsa yang juga seorang pemegang kad UNHCR berusia 23 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ampang atas pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak terbabit.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-kanak 2001 kerana dituduh sengaja mengabaikan mangsa pada hari kejadian.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azrul Idrus.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya kes berkenaan, Norhashimah Hashim dalam hujah beliau memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh wanita yang bekerja sebagai peminta sedekah jalanan atas alasan kes itu serius.

Hakim Azrul Idrus selepas mendengar permohonan itu memutuskan tertuduh tidak diikat jamin dan menetapkan 2 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.- MalaysiaGazette

Kanak-kanak pemegang kad UNHCR mati dipercayai dipukul bapa tiri

 

 

Bapa tiri, 2 wanita pemegang kad UNHCR direman 7 hari disyaki bunuh kanak-kanak