Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 23 MEI 2020

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata terdapat pelbagai faktor membabitkan jangkitan Covid-19 kepada lelaki.

Ia termasuk faktor perbezaan gender serta ketahanan tubuh badan mengakibatkan lebih ramai lelaki didapati dijangkiti.

Beliau berkata kedua-dua faktor itu dilihat dalam kajian mengenai virus penyakit berkenaan.

“Ini virus baharu dan kita masih belajar kerana banyak perkara yang kita tak tahu. Kita berharap dengan banyak kajian kita dapat kenal pasti sama ada wujud perbezaan antara lelaki dan wanita… pastinya ada perbezaan antara yang muda dan tua serta mereka yang sihat atau yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Ini berkaitan dengan ketahanan tubuh masing-masing. Kita perlu menjalankan lebih banyak penyelidikan sama ada ketahanan tubuh kita terbantut,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Noor Hisham, pemerhatian mendapati apabila wabak itu menjangkiti tubuh, ia boleh menyebabkan radang pada paru-paru selain menyerang saluran darah, mengakibatkan pembekuan darah, kerosakan kepada jantung dan buah pinggang.

Bagaimanapun, tambah Noor Hisham, kajian masih dijalankan untuk melihat sama ada respon tubuh badan terhadap jangkitan turut menyebabkan ketahanan terbantut antara 20 hingga 30 peratus.

Sebelum ini, BBC Indonesia melaporkan, Philip Goulder, seorang profesor imunologi di Universiti Oxford berkata, salah satu teori adalah imuniti perempuan terhadap virus lebih kuat.

Beliau dilaporkan berkata, tindak balas imunisasi seorang perempuan terhadap vaksin dan jangkitan biasanya lebih agresif dan lebih efektif dibandingkan lelaki. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Saya percaya ke tahanan badan perempuan terhadap virus lebih kuat berbanding lelaki kerana pembentukan sifat perempuan itu sendiri dan amanah yang ditangungnya bagi menjaga dan mendidik anak mereka telah dikurniakan Allah badan yang lebih imun dr lelaki.. kerana Allah mengetahui apa yang terbaik bg setiap insan..

Comments are closed.