KUALA LUMPUR – Hari ini merupakan hari terakhir umat Islam berpuasa dalam bulan Ramadan sebelum menyambut 1 Syawal esok.

Sudah pasti, senario orang ramai sibuk sejak awal pagi ini dan ‘menyerbu’ pasar basah berdekatan kawasan masing-masing untuk membeli barangan keperluan memasak juadah hari lebaran.

Cuma bezanya, sambutan hari raya kali ini dalam keadaan kita masih berhati-hati mengelakkan penularan Covid-19 dan sebilangan besar warga kota tidak pulang ke kampung gara-gara pandemik yang sama.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Pekan Sungai Besi sejak pukul 6.30 pagi mendapati ‘rantaian’ manusia seolah-olah mengepung pasar basah tersebut.

‘Rantaian’ yang berlaku akibat orang ramai dikawal memasuki kawasan pasar beramai-ramai oleh sepasukan anggota polis dengan bantuan sokongan anggota RELA yang mengatur dan mengawal setiap penjuru pasar tersebut.

Ia bagi memastikan pengunjung pasar berkenaan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), penjarakan sosial yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tinjauan mendapati orang ramai beratur panjang di kedua-dua penjuru kiri dan kanan pasar dan beberapa jalan ditutup.

Setiap pengunjung yang ingin memasuki ke dalam pasar untuk membeli barang diukur suhu badan terlebih dahulu dan diwajibkan membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman selain diminta memakai topeng penutup hidung dan mulut.

Pengunjung juga hanya memasuki pasar dalam jumlah tertentu pada satu-satu masa dan beberapa anggota RELA memeriksa pengguna di dalam pasar itu keluar sebelum membenarkan pengguna baharu masuk secara bergilir.

Walaupun terdengar keluhan pengguna kerana terpaksa beratur panjang tetapi majoritinya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa keselamatan kerana memahami ia arahan kerajaan dan demi kebaikan bersama. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.