Gelagat pengunjung bergambar sempena hari pertama raya Aidilfitri selepas kerajaan tidak membenarkan warga kota pulang ke kampung bagi memendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Suasana sambutan 1 Syawal hari ini menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia mula mempraktikkan saranan kerajaan dalam kehidupan seharian sebagai langkah membendung pandemik Covid-19 yang mula menampakkan trend penurunan biar pun masih ada kes baharu direkodkan setiap hari.

Majoriti rakyat beragama Islam mematuhi arahan kerajaan yang tidak membenarkan pergerakan rentas negeri biar pun keinginan untuk berhari raya di kampung halaman bersama keluarga dan sanak-saudara meluap-luap.

Selain tidak merentas negeri, rata-rata umat Islam memilih untuk tidak menerima tetamu, justeru bagi menghilangkan rasa bosan duduk di rumah mereka memilih untuk bersiar-siar di ibu kota dan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti penjarakan sosial dipatuhi.

Deretan kereta pengunjung yang diletakkan dibahu jalan sempena hari pertama raya Aidilfitri selepas kerajaan tidak membenarkan warga kota pulang ke kampung bagi memendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MEI 2020.

Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa lokasi termasuk di Jalan Tunku Abdul Rahman dan beberapa pusat beli-belah mendapati tidak ramai orang awam di kawasan tersebut, selain pergerakan kenderaan di atas jalan raya lancar.

Di Dataran Merdeka pula, ramai yang turun bersama keluarga lengkap berbaju Melayu dan tidak melepaskan peluang bergambar di lokasi yang mencatat sejarah tersendiri.

Begitu juga pasukan polis peronda MPV sentiasa melakukan pemantauan di sekitar dataran sejak lokasi itu menjadi tumpuan untuk berselfie sejak pagi tadi.

Kenderaan Polis MPV membunyikan siren sebagai nasihat untuk memastikan mereka yang berkunjung ke Dataran Merdeka tidak meluangkan masa lama secara beramai-ramai pada satu masa.

Pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi, Noor Anilizawatima Sulong, 43, sanggup datang ke Dataran Merdeka dari Puncak Alam bagi mengisi kerinduan kerana tidak dapat baik kampung berikutan syarat ketat Kesihatan Covid-19 yang perlu dipatuhi dalam norma luar biasa kali ini.

“Kami datang ke sini untuk lepas rindu dan bergambar beramai-ramai sambil menikmati  udara segar. Kami singgah ke sini untuk seketika tanpa bersentuhan dan bergambar manakala pemandangan sini pun cantik.

“Kita terpaksa mengadaptasikan dengan perubahan norma ini dan kami masih cuba sedaya upaya sesuaikan diri selepas malam tadi masak lemang di halaman rumah dan bertukar juadah serta saling berucap tanpa sentuhan.

“Malam tadi ada buat panggilan video menerusi WhatsApp secara berkumpulan untuk bercakap kepada emak di Terengganu dan mohon maaf kepadanya kerana tak dapat balik disebabkan bahaya Covid-19,” katanya kepada MalaysiaGazette

Beliau juga mengakui memang mencabar memujuk kanak-kanak dalam keluarganya supaya memahami situasi norma baharu ini tetapi tradisi main bunga api masak lemang dan menghulurkan duit raya kepada mereka tidak diabaikan.

Pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga, Muhammad Luqman Hakim Abd Wahab, 28 dan Nur Syamimi Mohaed Rasidi, 26, pula terpaksa menahan kesedihan kerana tidaak dapat balik beraya di kampung bersama keluarga tercita disebabkan norma baharu Syawal.

Pegawai di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu yang datang dari Jinjang, Kepong itu juga memberitahu mereka terpaksa melupakan cuti berbulan madu dan balik kmpung untuk beraya di ibu kota.

“Ini norma yang kita perlu diharungi walaupun suka atau tidak kerana ia melibatkan soal kesihatan yang mengehadkan pergerakan kita untuk satu tempoh sehingga covid-19 diputuskan rantaian sepenuhnya.

“Kita kena sahut seruan kerajaan secara serius untuk menang perang Covid-19 dan setiap individu perlu memainkan peranannya,” katanya.

Untuk NurzaimFarhaniezam Zakaria yang bekerja sebagai juruakaun dari Mutiara Damansara, ini kali pertama selepas 26 tahun beraya di perantauan tanpa balik ke kampung di Pahang.

“Kita tahu norma baharu ini disebabkan Covid-19 dan sebenarnya ada hikmah di sebaliknya dan perlu ambil posiif dan terus mengharunginya.

“Saya gembira juga beraya di ibu negara. Pagi tadi dah buat panggilan video dan ucap raya kat keluarga di kampung dan mengenakan pakaian raya tema baby blue. Cuma apa yang penting kita terus amalkan jarak satu meter, jaga kebersihan dan bersalam seperti orang Jepun tanpa bersentuhan,” ujarnya.

Bagi gadis muda seperti Nurul Aznita Abdul Rahman, 23 dari Batu Caves yang bekerja sebagai pembantu farmasi, biar pun sedih kerana tidak dapat pulang berhari raya di Pulau Pinang namun rakan-rakan yang ada dapat sedikit sebanyak menghiburkan hatinya.

“Memang sedih tak dapat balik beraya dan sebab itulah datang melepskan rindu di dataran bersama rakan saya dan bergambar sebagai kenangan.

“Ramai juga ada di dataran sekarang dan apa yang penting adalah menjaga penjarakan sosial masing-masing disebabkan ancaman Covid-19.

“Lagipun SOP yang dikenakan kerajaan wajar dan relevan sebab kita tidak tahu kalau salah seorang di sini pembawa virus, jadi tak gunanya marah kerajaan atas syarat ini, kita kena faham sendiri dan mematuhinya demi kebaikan semua,” katanya. – MalaysiaGazette