KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 masih belum reda malah ketika ini ianya sudah meragut 343,804 nyawa seluruh dunia manakala kes positif sudah mencecah angka 5.4 juta setakat ini.

Ini sekaligus menunjukan kes di seluruh dunia naik dua kali ganda dalam masa sebulan, dengan 250,000 kes dilaporkan dalam tempoh kurang tiga hari ini sejak penularan pandemik yang bermula di China sejak Disember lepas.

Manakala jumlah sembuh dan pulih serta discaj pula menunjukan angka memberangsangkan iaitu 2,247,132 kes.

Tinjauan MalaysiaGazette di laman berita luar negara mendapati, Amerika Syarikat (AS) masih lagi berada di tangga teratas dengan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 1.6 juta atau lebih tepat, 1,666,828 manakala kematian pula 98,683 kes.

Brazil pula kini berada di tangga kedua dengan peningkatan kes secara mendadak iaitu 347,398 kes dengan kematian di rekod sebanyak 22,103 kes manakala Rusia pula merekod 335,882 kes dan telah meragut 3,338 kematian.

Ada juga laporan data itu dikumpul agensi berita antarabangsa menerusi maklumat dikeluarkan pihak berkuasa negara dan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) sebenarnya mungkin hanya menggambarkan sebahagian kecil jumlah sebenar jangkitan.

Kebanyakan negara masih melakukan saringan hanya selepas pesakit mengalami gejala atau kes serius sahaja pada masa ini.

Selepas AS mula terjejas teruk sejak Februari lepas, Britain juga mengalami impak dengan 36,675 kematian daripada 257,154 kes manakala Itali merekod 32,735 kematian daripada 229,329 kes.

Sepanyol pula mencatat 28,678 kematian daripada 235,290 kes dan Perancis dengan 28,332 kematian dengan 182,469 kes setakat artikel ini ditulis.

Antara negara yang mempunyai kadar kematian terburuk pula adalah Belgium yang merekodkan 80 kematian per 100,000 penduduk, Sepanyol 61, Britain dan Itali 54 dan Perancis 43.

China kecuali Hong Kong dan Macau setakat ini melaporkan 4,634 korban dengan 82,971 kes dengan kes pulihnya pula 78,258 sudah sembuh dan discaj pulang.

Eropah melaporkan 173,279 korban daripada 2,004,226 kes manakala AS dan Kanada 102,912 korban daripada 1,695,281 kes.

Bagi Amerika Latin dan Caribbean 37,762 kematian daripada 688,508 kes, Asia 13,745 korban daripada 428,300 kes, Timur Tengah 8,704 korban dengan 333,744 kes.

Negara Afrika pula merekod  3,226 korban daripada 105,456 kes dan Oceania dengan 130 kematian daripada 8,463 kes.

Malaysia yang kini berada di tangga 58 ranking dunia pula mencatat 7,185 kes positif manakala kematian pula sebanyak 115 dengan jumlah sembuh pula 5,912 kes. –MalaysiaGazette