Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ramai lagi masih ‘degil’ dan buat tidak endah dengan segala garis panduan SOP Covid-19 yang telah di tetapkan oleh kerajaan bagi memastikan pandemik itu dapat di kekang penularannya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan seramai 470 individu telah ditahan dengan 87 daripadanya telah direman manakala bakinya 23 pula dijamin polis.

Katanya, kesemua mereka didapati telah melanggar tatacara operasi standard Covid-19 yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

Dedah beliau lagi, antara mereka yang dikenakan tindakan dikesan merentas negeri dan berada di kampung halaman tanpa kebenaran.

“Semalam PDRM telah mengeluarkan 214 kompaun di Sekatan Jalan Raya (SJR).

“Polis juga telah mengeluarkan 14 kompaun terhadap mereka yang dikesan telah merentasi negeri dan berada di kampung halaman tanpa kebenaran.

“Kita juga mendapati sebanyak 1,243 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah di arah berpatah balik oleh PDRM.

“Angka ini juga tinggi berbanding sehari sebelumnya iaitu sebanyak 1,158 kenderaan,” katanya dalam sidang media harian.

Ismail Sabri juga mendedahkan negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi adalah Selangor sebanyak 685 buah kenderaan.

“Negeri Sembilan mencatat tempat kedua tertinggi sebanyak 133 dan ketiga ialah Pahang sebanyak 72 buah kenderaan,” ujarnya. –MalaysiaGazette