Buruh binaan warga asing menjalani saringan saringan Covid-19 yang dikelola oleh majikan di Jalan Batai, Bukit Damansara. foto AFIQ RAZALI, 09 MEI 2020

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,449 sampel telah diambil dari pendatang tanpa izin di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Sepang iaitu lokasi kluster baharu Covid-19 yang telah dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 36 kes positif Covid-19 dikesan (29 kes dilaporkan hari ini) manakala 540 kes negatif Covid-19 dan 873 sampel masih menunggu keputusan.

Katanya, bagi kluster DTI Bukit Jalil pula sebanyak 1,536 sampel telah diambil yang terdiri daripada 1,422 Orang Kena Tahan (OKT) dan 114 kakitangan.

“Daripada jumlah tersebut, 126 kes adalah positif, 514 kes adalah negatif dan 896 sampel masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media situasi semasa jangkitan Covid-19 di negara ini.

Tambah beliau, bagi kluster DTI Semenyih, pasukan kesihatan telah mengambil sebanyak 1,757 sampel yang terdiri daripada 1,630 OKT dan 127 kakitangan.

Artikel berkaitan: COVID-19: Kluster baharu dikesan di Sepang – KP Kesihatan

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 66 kes adalah positif manakala 753 kes adalah negatif dan 938 sampel masih menunggu keputusan.

“Secara keseluruhan setakat ini, didapati 227 kes positif daripada ketiga-tiga kluster DTI ini adalah melibatkan bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Perincian kes positif di DTI adalah 53 kes warga Bangladesh; 41 kes warga India; 38 kes warga Indonesia, 37 kes warga Myanmar; 28 kes warga Pakistan; 17 kes warga China; 4 kes warga Kemboja; 3 kes warga Nepal; 2 kes warga Sri Lanka; dan masing-masing 1 kes warga Filipina, Libya, Mesir dan Syria.

“Pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan telahpun dijalankan misalnya, aktiviti nyah kuman, pendidikan kesihatan seperti penjagaan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta penekanan mengenai penjarakan sosial.

“Bagi memastikan kes-kes jangkitan Covid-19 dapat dikesan sepenuhnya, KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah akan meneruskan tindakan seterusnya iaitu menggunakan pendekatan tertumpu (targeted approach).

“Ia termasuk seperti siasatan, pengesanan kontak rapat, penilaian risiko oleh pihak yang berkaitan; Saringan gejala dan persampelan untuk mengesan kes secara aktif; Kes positif akan diisolasi dan dirawat di hospital, manakala kontak rapat akan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Bagi Kontak COVID-19 di bawah Seksyen 15(1) Akta 342,” katanya.

Menurutnya, KKM akan terus bekerjasama dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi Kerajaan bagi pengurusan kes COVID-19 yang melibatkan Depot Tahanan Imigresen.- MalaysiaGazette