Pengunjung keluar masuk di pintu kedua kuil semasa majlis perkahwinan yang dilangsungkan di sebuah rumah ibadat Hindu di Taman Serdang Raya pada 24 Mei 2020.

KUALA LUMPUR – Polis telah mengambil keterangan daripada 18 orang saksi berhubung siasatan kes rumah ibadat yang menganjurkan majlis perkahwinan di Taman Serdang Raya pada Ahad lalu.

Majlis perkahwinan yang diadakan pada pukul 8 hingga 10.30 pagi itu dihadiri puluhan tetamu, sekali gus  melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, polis juga telah mengambil keterangan daripada 15 orang saksi pihak kedua-dua pengantin yang hadir pada majlis tersebut.

“Kes kuil Serdang kita memulakan siasatan berdasarkan dua laporan polis yang mana 18 saksi (pihak kuil) dan 15 saksi pengantin yang hadir telah dirakam keterangan oleh polis,” katanya pada sidang media di Kuala Selangor hari ini.

Datuk Fadzil Ahmat

Tambah beliau, kes akan disiasat lanjut untuk menyiapkan kertas siasatan.

“Sejurus selepas siap kertas siasatan nanti akan dirujuk untuk apa apa arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwaraya,” ujarnya.

Semalam, pengurusan kuil berkenaan mengaku kuil tersebut telah menjalankan majlis perkahwinan antara pada Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan, pihak pengurusan kuil juga mengakui majlis itu telah berlangsung dengan kehadiran tetamu antara 20 hingga 30.

Sementara itu, Fadzil berkata, polis telah telah memulakan siasatan sejurus selepas menerima maklumat mengenai insiden itu.

“Saya tak pasti tempoh atau masa polis pergi ke tempat kejadian (rumah ibadat) tetapi SOP kami apabila telah menerima maklumat kami telah menjalankan siasatannya segera,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Sah! Pengurusan kuil Serdang akui ada majlis perkahwinan semalam – Polis

 

Artikel berkaitan: Polis siasat video tular majlis kahwin di kuil

Majlis perkahwinan di kuil Serdang dihadiri puluhan tetamu