Gambar hiasan.

SERDANG – Polis sedang menyiasat dakwaan satu majlis perkahwinan dilangsungkan di sebuah kuil di sini dalam satu video berdurasi seminit yang tular memaparkan deretan kereta serta orang ramai keluar masuk menerusi pintu kedua kuil itu hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, bertindak atas maklumat tersebut sepasukan pegawai dan anggota polis dari balai polis Seri Kembangan telah membuat tinjauan dan siasatan di sekitar kuil tersebut.

“Hasil soal siasat terhadap penjaga kuil tersebut, beliau menyatakan bahawa majlis di dalam video yang tular itu tidak berlangsung pada hari ini.

“Beliau juga mendakwa tiada sebarang aktiviti atau majlis yang diadakan sepanjang tempoh perintah kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB ini di laksanakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan beliau menyusul selepas MalaysiaGazette secara eksklusif mendedahkan satu majlis disyaki perkahwinan yang dijalankan di sebuah rumah ibadat di Taman Serdang Raya pagi hari ini dengan kehadiran tetamu pada jumah yang ramai.

Tindakan itu ternyata bertentangan dengan SOP Kesihatan dan PKPB yang dikuatkuasakan kerajaan melarang sebarang perhimpunan atau upacara perkahwinan serta keagamaan besar-besaran sepanjag PKPB sehingga Covid-19 selesai.

Tambah beliau bagaimanapun polis akan melakukan siasatan lanjut untuk mengesan bagaimana video ini boleh tersebar.

“Malah pihak polis akan sentiasa membuat pemantauan di setiap rumah ibadat bagi mengekang dan mencegah penularan jangkitan Covid-19,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Majlis perkahwinan di kuil Serdang dihadiri puluhan tetamu