Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat tekun melakukan kerja-kerja pengambilan sampel Covid-19 terhadap orang awam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di kawasan Pasar Jalan Othman (PJO), Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Protokol baharu akan dilaksana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam merawat pesakit yang positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, protokol baharu itu akan merawat pesakit Covid-19 dalam masa 14 hari sahaja kerana kadar kebolehjangkitan wabak itu akan lemah selepas dua minggu dirawat.

“Bila kita laksanakan ujian pada hari ketiga belas, ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) masih positif dan mengikut pihak WHO ialah walaupun ujian itu positif mungkin ujian itu positif dikesan oleh PCR jadi bila tarikh itu virus itu akan jadi positif juga.

“Jadi mungkin daripada situ, bila kita laksanakan ujian ia masih positif tetapi persoalannya adakah mereka masih boleh menjangkiti kebolehjangkitan itu ada tapi laporan WHO kalau mereka telah melepasi tempoh 14 hari, kebolehjangkitan mereka adalah sifar.

“Jadi maklumat terbaharu yang kita dapati selepas 14 hari walaupun PCR adalah positif, kita boleh discaj pesakit tersebut. Ini tindakan terbaharu dan maklumat terbaharu yang kita dapati dan akan mengubah protokol kita menguruskan pesakit yang positif,” katanya dalam sidang media harian di KKM, hari ini.

Justeru itu katanya, setiap pesakit positif Covid-19 akan menggunapakai protokol baharu ini untuk tempoh 14 hari rawatan.

“Laporan baru kita terima dan kita akan maklumkan kepada semua pakar kita di hospital iaitu protokol yang baru dan kita akan merawat kes positif untuk tempoh 14 hari sahaja.

“Walaupun mereka akan positif selepas tempoh 14 hari, tetapi kebolehjangkitan itu adalah hampir sifar,” katanya. -MalaysiaGazette