Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menasihatkan penjawat awam sentiasa mematuhi arahan dan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan melalui pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) semasa sambutan perayaan Aidilfitri kali ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, penjawat awam tertakluk dengan perintah, peraturan dan pekeliling yang telah dikeluarkan oleh kerajaan terutama melibatkan arahan larangan melakukan perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung.

“Sebagai penjawat awam, kita perlu menjadi contoh terbaik kepada anggota masyarakat dengan mematuhi setiap SOP dan peraturan yang telah dikuatkuasakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan bukannya melanggar perintah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang berkata penjawat awam boleh dikenakan tindakan tatatertib jika tidak kembali bekerja selepas Aidilfitri kerana terperangkap di kampung, akibat melanggar larangan rentas negeri dalam tempoh PKPB.

Mohd Khairul Adib turut berkata, jabatan masing-masing boleh mengenakan tindakan tatatertib pada penjawat awam yang tidak hadir ke pejabat tanpa mengemukakan surat cuti.

“Penjawat awam harus sedar dan mengetahui implikasi yang bakal dikenakan sekiranya tidak mematuhi pekeliling atau peraturan yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya lagi.

Perkara sama turut dikeluarkan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan yang memaklumkan pekerja swasta yang terperangkap di kampung kerana melanggar PKPB, juga boleh dibuang kerja jika tidak kembali bertugas ke pejabat selama lebih dua hari berturut-turut.

Tindakan itu boleh dilakukan selaras peruntukan mengikut Seksyen 15(2) Akta Kerja 1955.

Untuk rekod, penjawat awam yang tidak dapat kembali bekerja kerana melanggar PKPB untuk pulang berhari raya di kampung telah membuat kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342 ) dan mereka juga boleh dikenakan tindakan tatatertib jika disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, penjawat awam yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman tatatertib seperti amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Penjawat awam yang dikenakan tatatertib juga, tidak layak untuk dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

Jelas beliau, setiap peraturan yang ditetapkan kerajaan bukanlah bertujuan untuk menghukum kita tetapi untuk membawa semula keamanan dan kemakmuran kepada negara. -MalaysiaGazette