Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata pasangan itu, Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dan Norwahidah Abdul Hamid, 28, merancang bernikah pada Jumaat ini.
PDRM

ALOR SETAR – Seorang penjawat awam dihalang daripada pulang semula ke Putrajaya, selepas disyaki memalsukan tarikh surat kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan oleh polis Putrajaya, semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata, lelaki berusia 40-an itu, sebelum ini pulang ke Kedah bersama keluarganya dan menetap di Pendang, namun dia hanya dibenarkan merentas negeri untuk kembali ke Putrajaya pada 17 Mei lepas.

Katanya ketika ingin memulakan perjalanan pulang ke Putrajaya semalam, pihak polis membuat semakan pada surat kebenaran rentas negeri yang dikemukakan lelaki berkenaan, namun mendapati tarikh pergerakan telah dipinda secara tidak sah, daripada 17 Mei kepada 25 Mei.

 “Lelaki berkenaan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, kerana pemalsuan dokumen dan dia juga dihalang pulang ke Putrajaya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Zainuddin mengetuai operasi pemeriksaan dari rumah ke rumah di beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini, bagi mengesan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri yang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu Zainuddin berkata, polis Kedah akan terus mempertingkatkan pemeriksaan kenderaan di pintu masuk dan keluar negeri ini, bagi memastikan pematuhan SOP berada pada tahap optimum.

“Dulu kita tapis orang awam balik ke Kedah, tapi sekarang ni kita tapis orang yang nak keluar dari Kedah, sama ada mereka ini benar balik dengan kebenaran atau lolos di pintu masuk.

“Oleh itu kita adakan sekatan jalan raya dua hala, iaitu susur keluar tol dan hala masuk pun kita periksa, dan kita akan teruskan sehingga Kedah betul-betul bebas COVID-19,” katanya. – Bernama