PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUCHING – Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Samarahan, menjadi antara 25 orang yang dikompaun, selepas melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar M M Sree berkata, anggota terbabit bersama 24 yang lain ditahan pasukan ‘Snap Check’ pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di Jalan Tun Openg, Simunjan, ketika menunggang motosikal dari arah Pekan Simunjan menghala ke Kampung Nanas.

“Pemeriksaan yang dilakukan anggota bertugas kira-kira jam 2.00 petang semalam mendapati, kesemua 25 orang ini berasal dari (daerah) Kota Samarahan, dan gagal menunjukkan surat kebenaran pergerakan rentas daerah daripada pihak polis, apabila diminta untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dev Kumar, 25 individu tersebut turut mengaku hanya bersiar-siar dengan menunggang motosikal dari Kota Samarahan ke Simunjan, kerana sudah lama tidak melakukan aktiviti terbabit.

Beliau berkata, kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Simunjan untuk tindakan kompaun dan diarahkan balik semula ke Kota Samarahan menerusi laluan Jambatan Batang Sadong.

Di KUANTAN, seramai 16 individu dikenakan tindakan kompaun kerana melanggar PKPB, dengan berkumpul di sebuah rumah di KotaSAS di sini, untuk berhibur tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pada serbuan 12.30 tengah malam itu,  mereka yang dikompaun terdiri daripada enam lelaki dan 10 wanita, termasuk lima Orang Asli berusia antara 17 hingga 63 tahun.

“Mereka didapati berkumpul di dalam rumah sambil minum minuman keras semasa serbuan dilakukan, dan ujian air kencing juga mendapati tujuh daripada mereka positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama