Petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 21 MEI 2020

KUALA LUMPUR- Berpengalaman luas mengendalikan kes-kes luar biasa seperti menguruskan jenazah mangsa pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine enam tahun lalu dan pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah terbakar menyebabkan Mohd Ajib Ismail berjaya memimpin anak-anak buahnya menguruskan jenazah pesakit-pesakit Covid-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail ketika temubual bersama Malaysia Gazette di Pejabat JAWI, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 MEI 2020

Kata Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu, pengurusan jenazah pesakit Covid-19 dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersandarkan kepada wabak Ebola yang pernah melanda Afrika suatu ketika dahulu.

Namun, ketelitian dan kerumitan ketika menguruskan jenzah-jenazah kes luar biasa itu boleh digunapakai ketika menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

Jawi juga katanya telah menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Jenazah Covid-19 yang terdiri daripada pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pegawai Jawi sendiri serta pihak Hospital Kuala Lumpur dan pengurusan tanah perkuburan Raudhatul Sakinah untuk melicinkan proses pengurusan jenazah.

Mereka juga memastikan setiap prosedur standard operasi (SOP) dipatuhi sepenuhnya.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Islam JAWI, Zulina Sulaiman melakukan tayammum ke atas jenazah pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

Katanya, setakat ini Jawi telah menguruskan sekurang-kurangnya 41 jenazah pesakit Covid-19 yang mereka hanya perlu ditayammum di atas lapisan plastik beg mayat, disolatkan oleh dua orang sahaja manakala urusan pengebumian juga dilakukan oleh jumlah pengendali yang sangat minimum sambil dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

Tiada sentuhan dengan jenazah dibenarkan, tegasnya.

Menurut Mohd. Ajib, beliau sentiasa memberi semangat dan motivasi kepada semua 53 orang kakitangannya bagi memastikan mereka tidak gentar ketika perlu menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

Petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengendali jenazah Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 21 MEI 2020

Tambahan pula, para petugas perlu berada dalam keadaan siap sedia selama 24 jam sehari kerana jenazah pesakit Covid-19 perlu diurus dan dikebumikan dengan segera.

“Kesemuanya telah diberi taklimat kesihatan, apa yang perlu dibuat sebelum dan selepas mengendalikan jenazah pesakit Covid-19.

“Saya sentiasa memberi semangat dan sokongan emosi kepada mereka kerana kita faham, tugas ini sangat berisiko kerana virus Covid-19 ini mudah merebak jadi kami tidak mahu mereka merasa takut atau tidak dapat memberi fokus ketika melaksanakan amanah tersebut.

Petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengusung jenazah Covid-19 ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 21 MEI 2020

“Para petugas juga diminta untuk menjaga kebersihan dan kesihatan diri dengan baik.

“Kami juga menasihatkan kesemua petugas agar mengambil vitamin C bagi meningkatkan sistem imunisasi tubuh dan sentiasa sihat” katanya kepada MalaysiaGazette.

Selain perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), para petugas juga diwajibkan melalui ujian saringan Covid-19 bagi memastikan mereka bebas daripada wabak tersebut.- MalaysiaGazette