Pendatang asing tanpa izin dikumpul anggota Imigresen selepas membuat serbuan di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Tiga buah negara iaitu Indonesia, Bangladesh dan Nepal telah bersetuju dengan hasrat kerajaan menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI)

Warga asing ini akan dihantar pulang ke negara asal mereka sejurus selepas menjalani ujian saringan Covid-19 dan jika didapati negatif.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengalu-alukan kesedediaan yang mengalu-alukan tindakan ketiga-tiga negara itu menerima kembali rakyatnya selepas di saring.

“Terima kasih kepada ketiga-tiga negara ini yang bersetuju untuk cadangan menghantar pulang rakyat selepas saringan dan didapati negatif.

“Saya harap akan ada negara lain juga tampil bersetuju supaya kita boleh hantar pulang semua warga asing ini.

“Wisma Putra akan berbincang dengan rakan sejawat di tiga buah negara ini bagi proses penghantaran pulang dalam masa terdekat.

“Pada masa sama, Wisma Putra juga telah hantar nota kepada semua kedutaan yang mana rakyatnya kini berada di Depot Tahanan Imigresen bagi tindakan susulan,” katanya dalam sidang media harian sebentar tadi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memberitahu dari 1 Mei sehingga semalam, seramai 327 PATI dan 41 tekong telah ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram dan melalui lorong-lorong tikus.

Turut ditahan, tujuh individu yang disyaki penyeludup dengan tujuh buah kapal bagi tujuan tersebut.

“Kita sememangnya pandang serius dan tidak akan membiarkan kumpulan lolos begitu sahaja. Operasi ‘Benteng’ yang melibatkan ATM, PDRM, APMM dan AKSEM ketika ini sedang mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu.

“Ini untuk memastikan tidak ada PATI yang cuba membolosi sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

“Setakat ini, kita juga sudah berjaya menahan 1,515 warganegara asing yang menceroboh sempadan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.