Anggota PDRM mengenakan kompaun kepada pesalah yang mahu rentas negeri semasa Sekatan Jalan Raya (SJR) pada hari kelima Aidilifitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 28 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Cubaan merentas negeri sekaligus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terus mencatat peningkatan dengan terbaru sebanyak 842 buah kenderaan dengan alasan mahu pulang ke kampung.

Malah angka itu meningkat berbanding semalam sebanyak 824 kenderaan di 150 Sekatan Jalan Raya (SJR) oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan),  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Selangor masih lagi mencatat cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi iaitu 514 dikuti Negeri Sembilan sebanyak 54 kes dan Melaka (51 kes).

“PDRM juga telah menahan dan mereman 187 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kompaun juga telah dikeluarkan kepada 728 individu atas pelbagai kesalahan ingkar PKPB, balai polis sendiri telah mengeluarkan sebanyak 473 kompaun.

“Sebanyak 64 kompaun pula telah dikeluarkan bagi yang ingkar bagi kesalahan ziarah Aidilfitri. Sebanyak 244 kompaun dikeluarkan di lapangan dengan 203 sahaja di SJR,” katanya dalam sidang media harian sebentar tadi.

Sambung Ismail Sabri, semua pihak diingatkan sekali lagi supaya mematuhi SOP garis panduan atau berdepan dengan tindakan tegas PDRM.

“PDRM tidak akan kompromi, tindakan tegas akan diambil kepada yang cuba melakukan rentas negeri tanpa kebenaran termasuk mengenakan kompaun,” tegasnya. –MalaysiaGazette